LONDON: Thomas Tuchel terkejut apabila dipecat sebagai pengurus Chelsea hanya menerusi satu panggilan telefon selama 10 minit pagi ini.
Pakar taktikal Jerman itu memenangi Liga Juara-Juara bersama Blues lebih setahun lalu tetapi dia disingkirkan dengan ‘kejam’ oleh pemilik baharu kelab, Todd Boehly.
Kekalahan mengejut 1-0 kepada kelab Croatia, Dinamo Zagreb pada aksi pembukaan Kumpulan E, Liga Juara-Juara awal pagi tadi membuatkan Boehly hilang sabar biarpun Tuchel merayu agar diberi peluang kedua.
Chelsea Football Club part company with Thomas Tuchel.
— Chelsea FC (@ChelseaFC) September 7, 2022
Biarpun berlepas ke Zagreb selepas menumpaskan West Ham 2-1 pada saingan Liga Perdana Inggeris, Blues mengutip 10 mata ‘kurang memberangsangkan’ dalam enam aksi pertama liga domestik.
Chelsea kini tewas tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan buat kali pertama di bawah bimbingan Tuchel, termasuk ketika menentang Leeds dan Southampton.
Menurut laporan The Sun, Tuchel tiba di pusat latihan kelab di Cobham, London hari ini untuk melakukan bedah siasat bersama pemain susulan kekalahan tersebut.
Begitupun, tiada siapa menyambut kehadirannya, sebaliknya dia diarah menghadiri sidang panggilan video dengan pihak pengurusan tertinggi Blues.
Panggilan itu berakhir selama 10 minit apabila Tuchel merayu tidak dipecat dan diberi peluang kedua untuk mengubah keadaan, namun rayuannya tidak diendahkan Boehly.
Tuchel, 49, yang pernah membimbing Paris Saint-Germain dan Borussia Dortmund dibiarkan dalam keadaan terkejut dengan pemecatan itu sebelum mengumpul barangan peribadi, mengucapkan selamat tinggal dan meninggalkan kompleks latihan. – AGENSI