PETALING JAYA: Sri Pahang mengalami kekalahan kedua berturut-turut di laman sendiri apabila tumpas 0-2 kepada Kuala Lumpur City (KL City) dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Masih segar dengan kejayaan melayakkan diri ke final Antara Zon Piala AFC, KL City meneruskan momentum dengan melancarkan serangan bertali arus sejak awal permainan.
Pahang yang tumpas 1-2 kepada Terengganu FC dalam perlawanan terakhir liga pada 21 Ogos lalu bergelut dengan asakan berterusan yang dilancarkan skuad The City Boys.
Peluang pertama KL City hadir menerusi penyerang remaja, Haqimi Azim Rosli, namun rembatan pemain berusia 19 tahun itu diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Mamadou Samassa pada minit ke-16.
Pada minit ke-28, giliran Romel Morales menguji gawang Tok Gajah tetapi KL City sekali lagi dikecewakan.
Begitupun tiga minit kemudian, Haqimi Azim tidak melakukan kesilapan apabila memanfaatkan situasi kelam kabut di depan pintu gol tuan rumah untuk membuka jaringan pasukannya.
Tersentak dengan gol tersebut, Pahang memperkemaskan permainan dan mengatur beberapa percubaan ke kubu lawan tetapi gagal membuahkan hasil.
Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan dan peluang terbaik tuan rumah hadir menerusi rembatan Manuel Hidalgo dari luar kotak penalti tetapi bola tersasar di kanan gawang KL City pada minit ke-61.
Semangat juang Pahang untuk mencari gol penyamaan ‘dibunuh’ oleh gol kedua pasukan pelawat yang disempurnakan oleh kapten mereka, Zhafri Yahya pada minit ke-72.
Kemenangan itu membolehkan KL City mendaki ke tangga kelima lima dengan 25 mata hasil tujuh kemenangan dan empat seri musim ini, Sri Pahang pula menghuni tempat tujuh dengan 21 mata. – UTUSAN ONLINE