KUALA LUMPUR: Sukan angkat berat dilanda kontroversi lagi, kali ini tiga atlet Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 dari Perlis dan Terengganu disahkan positif doping oleh Agensi Anti Dadah Malaysia (Adamas).
Keputusan yang dikeluarkan Adamas menyebabkan angkat berat yang sepatutnya membuka tirai pertandingan semalam terpaksa ditangguhkan.
Insiden yang berlaku itu telah memaksa Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menarik diri meninggalkan Sukma berdasarkan ketetapan yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco badan induk itu, sebelum ini.
Ketetapan itu menyatakan sekiranya terdapat atlet ahli gabungan atau persatuan negeri yang positif doping, penyertaan atlet berkenaan dan atlet lain dalam ahli gabungan atau persatuan negeri yang ada di antara atletnya positif doping akan digantung dari Sukma 2022.
Atlet angkat berat terbabit juga akan dilarang daripada menyertai sebarang kejohanan tempatan dan di peringkat antarabangsa selama dua tahun.
“Pendirian PABM jelas kerana dalam mesyuarat khas minggu lalu, semua atlet yang gagal dalam ujian doping akan menyebabkan penglibatan kontinjen negeri terbabit dalam sukan angkat berat digantung.
“Perkara tersebut jelas dan turut mendapat sokongan sebulat suara oleh semua pihak. Bagi PABM ini satu keputusan tepat bagi menjamin masa depan sukan ini di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa,” kata Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan semalam.
Bagaimanapun, menurut beliau, terdapat beberapa keputusan tegas PABM itu tidak dipersetujui oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
“Tujuan PABM supaya tiada lagi atlet angkat berat terjebak dengan penyalahgunaan bahan terlarang. Kita tidak mahu pada akhirnya PABM yang menjadi mangsa dipersalahkan.
“Pada mesyuarat bersama pengarah kejohanan, jawatankuasa tertinggi tidak melihat PABM sebagai rakan kongsi yang baik dari segi teknikal, malah, peranan PABM juga tidak diperlukan.
“Ini adalah pilihan terbaik dan PABM tidak lagi terlibat dalam Sukma 2022. Ia juga adalah hak MSN sendiri untuk meneruskannya.
“Mereka (MSN) yang membuat keputusan. PABM selaku badan induk sukan ini bertanggungjawab dan daripada pihak kita telah selesai,” kata Ayub.
Menerusi kenyataan rasmi Adamas, tiga atlet didapati menggunakan bahan terlarang iaitu Metandienone, Tebutaline dan Oxymetholone.
Satu kes membabitkan atlet Perlis dan dua kes adalah atlet dari Terengganu. Ketiga-tiga mereka merupakan atlet lelaki yang mana seorang berusia 16 tahun dan dua lagi berumur 23 tahun.
Sementara itu, Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma ke-20 memutuskan saingan sukan angkat berat ditunda sehari kepada 20 September.
Menerusi kenyataan ringkas lewat malam semalam, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan dihadiri semua wakil Majlis Sukan Negeri.
Seramai 126 atlet angkat berat dari 14 negeri akan menyertai temasya dwi tahunan itu yang mempertandingkan 16 acara. – UTUSAN ONLINE