Terengganu pertahankan emas 4x100m

Terengganu pertahankan emas 4x100m

KUARTET Terengganu meraikan kejayaan mempertahankan pingat emas 4x100 meter pada Sukma 2022 di Bukit Jalil hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terengganu berjaya mempertahankan pingat emas 4×100 meter (m) lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2022 selepas mengetepikan cabaran Perak yang diperkuatkan oleh Raja Pecut Sukma, Muhammad Azeem Fahmi.

Kuartet yang dibarisi Abdul Wafiy Roslan, Ruslem Zikry Putra Roseli, Zulfiqar Ismail dan Hasrul Najmi Badrul itu menawan trek di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan catatan masa 40.59 saat (s).

Perak terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan 40.95s, manakala gangsa menjadi milik pasukan Selangor yang mencatat kepantasan 40.97s.

 

“Kalau ikutkan pencabar dari segi taktikal ada beberapa negeri seperti Perak dan Negeri Sembilan.

“Saya bersyukur kerana kami berempat masih diberi kepercayaan oleh MSN (Majlis Sukan Negeri) Terengganu, persatuan dan rakyat Terengganu untuk menjadi wakil untuk membawa pulang pingat lagi dalam edisi kali ini,” kata Zulfiqar.

Sementara itu, hasrat Terengganu untuk mempertahankan kejuaraan 4x100m wanita tidak kesampaian apabila dikecewakan oleh Sabah.

Kuartet Lim Yi Fei, Chelsea Cassiopea, Nur Aishah Rofina Aling dan Patronella Lisong itu melepasi garisan penamat dengan pingat emas selepas mencatat kepantasan 46.48s.

 

 

KUARTET Sabah meraikan kejayaan meraih pingat emas 4x100m wanita di Bukit Jalil hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Terengganu dengan 47.42s meraih perak, manakala Pahang yang ditunjangi ratu pecut Sukma 2022, Nur Sarah Adi berpuas hati memenangi gangsa (47.89s).

Kemenangan Sabah itu amat bermakna kerana pelari mereka dilatih oleh jurulatih masing-masing, dan hanya berpeluang berkumpul seminggu sebelum temasya.

“Kami tidak melihat negeri lain sebagai pencabar dari separuh akhir ke final, kami cuma kekalkan tahap kelajuan dan fokus terhadap diri sendiri.

“Sebenarnya, kejayaan ini memang besar untuk kami kerana ini kali pertama kami bergandingan sebagai sepasukan,” kata Chelsea yang bertindak sebagai pelari terakhir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya