PETALING JAYA: Terengganu dan Melaka menjadi tumpuan hari ini apabila Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 menawarkan pingat emas pertamanya kerana kedua-dua negeri adalah ‘kuasa’ dalam berbasikal serta wusyu.
Pandemik Covid-19 menyebabkan Sukma 2020 yang sepatutnya berlangsung di Johor dibawa ke 2024, dan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa mengambil alih penganjuran tahun ini bagi memastikan proses melahirkan ‘bintang’ tidak terganggu.
Hari ini, selepas empat tahun menunggu sejak Sukma terakhir di Perak pada 2018, kilauan emas Sukma akhirnya kembali menjadi rebutan dengan acara wusyu dan basikal lebuh raya membuka tirai.
Terengganu yang menyasarkan 12 pingat emas dalam berbasikal menjadi tumpuan utama acara lebuh raya ujian masa individu lelaki dan wanita yang akan berlangsung di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan pukul 9 pagi, hari ini.
Ini bermakna dua pingat emas bakal menjadi rebutan peserta pada acara akhir tersebut.
Sementara itu, wusyu yang bermula pukul 9.30 di Gimnasium 2 MSN, Bukit Jalil menawarkan pingat emas yang lebih banyak dengan tujuh acara akhir akan berlangsung
Melaka yang menguasai sukan tempur itu dengan muncul juara keseluruhan menerusi tujuh pingat emas di Perak, empat tahun lalu, sekali menyasarkan untuk cemerlang di Kuala Lumpur.
Malah, kontinjen wusyu menjadi sandaan utama Melaka untuk memenuhi misi 20 pingat emas selain silat, badminton, renang serta petanque.
Perebutan pingat emas acara Nanquan lelaki dan Taijijian wanita akan diadakan pada sebelah pagi, manakala lima lagi final bagi Nanquan wanita, Daoshu lelaki serta wanita dan Jianshu juga bagi kategori lelaki serta wanita akan diadakan pada sebelah petang.
Kelmarin, bola sepak menjadi sukan pertama yang membuka tirai dengan empat perlawanan, yang menyaksikan juara bertahan, Perak tumbang 0-2 kepada Selangor dalam aksi pembukaan Kumpulan A.
Turut membuka tirai pertandingan hari ini adalah pusingan awal sepak takraw berpasukan lelaki di Dewan Sri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi.
Upacara pembukaan temasya pula bakal disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), UKM, Bangi pukul 8.45 malam, Sabtu ini.
Sebanyak 426 acara menerusi 31 sukan dipertandingkan pada Sukma kali ini dengan 15 kontinjen beserta 6,606 peserta mengambil bahagian.
Terengganu merupakan juara keseluruhan dengan 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa pada Sukma 2018, manakala Wilayah Persekutuan di tangga kedua (52 emas) dan Selangor ketiga (47 emas).