KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain mahu skuad kendaliannya memburu kedudukan tiga terbaik Liga Super untuk layak beraksi dalam cabaran Piala AFC musim depan setelah gagal dalam percubaan melalui saingan Piala FA.
Menurut jurulatih berusia 44 tahun itu, TFC harus mengutip mata penuh bertemu Penang FC di laman sendiri, malam ini dengan kempen Liga Super hanya berbaki lima perlawanan.
Katanya, peluang masih terbuka buat Terengganu FC yang menghuni kedudukan keempat untuk memintas Sabah serta Negeri Sembilan yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga ketika ini.
“Kekalahan Sabah kepada Selangor, kelmarin, membuka lebih banyak peluang untuk TFC bersaing ditambah pula kita akan bertemu mereka juga di tempat sendiri tidak lama lagi.
“Kami harus mengutip mata maksimum dalam baki lima perlawanan selepas TFC banyak kehilangan mata bertemu pasukan yang tidak sepatutnya kami tewas sebelum ini.
“Berakhirnya Piala FA membolehkan TFC memberi 100 peratus tumpuan kepada Liga Super untuk merebut tiga kedudukan teratas seterusnya layak ke Piala AFC 2023,” jelas Nafuzi.
Dalam pada itu, Nafuzi mengakui moral skuad kendaliannya masih terjejas susulan kekalahan 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala FA, Sabtu lalu.
Katanya, TFC tiada pilihan selain melupakan kekecewaan itu dengan bangkit menjadikan Penang FC sebagai mangsa dan kembali ke landasan kemenangan.
“Pemain-pemain sedang berusaha mengembalikan motivasi dan saya juga mungkin tidak membuat banyak rombakan untuk bertemu Penang FC nanti.
“Selepas bertemu Penang FC, kami ada masa yang panjang untuk membuat persedian bertemu Sabah sebelum tiga perlawanan terakhir liga di tempat lawan,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE