PETALING JAYA: Bercita-cita dinobatkan sebagai Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) 2022, penembak negara, Nurul Syasya Nadiah Arifin mahu kariernya dalam temasya dwitahunan itu diakhiri dengan pencapaian membanggakan.
Berusia 20 tahun, Syasya sebelum ini pernah mencipta rekod baharu Sukma dengan bidikan 562 mata bagi acara 10 meter (m) air pistol individu, sekali gus meleburkan rekod 18 tahun penembak Kuala Lumpur, Siti Sarah Mohd. Ibrahim pada 2000.
Atlet Johor itu menyasarkan untuk mencipta rekod peribadi dan rekod Sukma baharu tahun ini setelah meraih dua pingat emas pada temasya 2018 di Perak.
Bukan itu sahaja, kata Syasya, Sukma 2022 dijadikan salah satu medan persediaan sebelum berlepas ke Mesir, pertengahan bulan hadapan dalam misi memburu mata kelayakan untuk ke Olimpik Paris 2024.
“Saya akan sertai tiga acara dan sasaran sudah tentunya untuk sekali lagi memburu emas bagi 10m wanita. Kalau ada peluang, saya juga mahu dapatkan emas dalam 10m campuran dan bagi 25m sport pistol pula, saya sasar lakukan yang terbaik.
“Sebenarnya saya baru sahaja menyertai kejohanan kebangsaan dua minggu lalu di Subang. Saya dapat No. 1 acara 10m wanita dengan 572 mata.
“Berdasarkan pencapaian dan aksi daripada kejohanan itu, saya rasa Perak, Pahang dan Selangor akan menjadi pencabar hebat untuk saya dalam Sukma nanti. Saya memang perlu bekerja keras mengatasi mereka.
“Harapan saya, dengan usaha yang saya dilakukan ini, saya mahu dinobatkan sebagai Olahragawati Sukma sebab saya penyertaan yang pertama kali dulu saya dah mencipta rekod, jadi penyertaan yang terakhir ini saya mahu dapatkan anugerah lain pula.
“Selain itu, Sukma ini juga saya anggap persediaan dan latihan untuk saya mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia Menembak di Mesir pada Oktober. Ini adalah penyertaan pertama saya dalam cubaan mengutip mata ke Olimpik Paris,” katanya kepada Utusan Malaysia.