Sukma terakhir yang amat bermakna - Shangyang

Sukma terakhir yang amat bermakna – Shangyang

AKSI Chuah Shangyang ketika memenangi pingat emas acara nandao lelaki pada Sukan Malaysia 2022 di Bukit Jalil, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Memenangi pingat emas kedua dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 menjadi penutup yang amat menggembirakan buat atlet wusyu Pulau Pinang, Chuah Shangyang memandangkan ini penyertaan terakhirnya pada temasya itu.

Bekas juara dunia acara xingyiquan 2019 itu mendedikasikan kemenangan kepada keluarga, terutama ibu dan bapanya yang telah banyak  berkorban untuk menghantar dan mengambilnya berlatih sejak mula terlibat dalam wusyu.

Shangyang, 22, meraih pungutan mata 9.643 dalm acara nandao lelaki menerusi persembahan memukau dan aksi tangkasnya yang menarik hati juri, membolehkan dia mengatasi Danny Ling Hang Kee dari Sarawak di tempat kedua (9.616) dan Chan Shi Weng dari Melaka dengan gangsa (9.593).

Terdahulu, atlet kelahiran Bukit Mertajam itu turut memenangi pingat emas acara nangun.

“Saya tujukan kemenangan ini buat keluarga kerana rumah kami di tanah besar. Mereka menghantar saya jauh berlatih ke pulau, dan kadang-kadang perlu menunggu sehingga empat jam sampai saya selesai.

“Selepas ini saya mahu berehat dan luangkan masa dengan keluarga kerana kami tinggal berjauhan. Saya di Kuala Lumpur dan mereka di Pulau Pinang. Jadi selepas habis Sukma, saya mahu pulang ke kampung dan melancong bersama mereka,” katanya.

Sementara itu, bagi acara taijijian lelaki, wakil Melaka, Tan Zhi Yan sekali lagi muncul juara dengan pungutan mata 9.646, sementara pingat perak dan gangsa, masing-masing dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Kerk Qing (9.576) dan atlet Sarawak, Edison Wong Sing Yen (9.513).

Sehingga setakat jam 1 petang tadi, wusyu masih dikuasai Melaka yang mendahului kedudukan negeri dengan pungutan lapan pingat emas dan lima perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya