KUALA LUMPUR: Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang bakal membuka tirai temasya pada 16 September ini di Lembah Klang menerima penajaan lebih RM5 juta daripada syarikat-syarikat korporat, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurut beliau, penajaan tersebut diterima dalam bentuk wang tunai, barangan dan perkhidmatan dalam usaha memastikan temasya tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Dengan kerjasama strategik ini diyakini akan dapat membantu pembangunan sukan di negara ini dan ia bukan sahaja untuk Sukma, malah, buat sukan-sukan lain juga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengenalan Penaja Rasmi Sukma dan Para Sukma ke-20 MSN (Majlis Sukan Negara) 2022 di sini, hari ini.
Sebanyak 14 syarikat menjadi penaja Sukma, antaranya Sanyu, Nestle, Bergamot, Acer Malaysia, Mara Liner, F&N dan Spritzer.
Sementara itu, mengulas pula mengenai MSN yang menjadi tuan rumah pada temasya kali ini, Faizal memberitahu, badan induk sukan negara itu bukanlah bidan terjun yang bertindak menjadi pengganti kepada Johor selepas negeri itu meminta penangguhan gara-gara pandemik Covid-19.
“MSN bukan bidan terjun, kita sebagai pemilik jenama Sukma berhak untuk menjadi penganjur temasya tersebut.
“Cuma Johor yang sepatutnya menjadi tuan rumah meminta penangguhan dan MSN bertanggungjawab untuk meneruskan penganjuran temasya ini,” ujarnya yang turut memaklumkan sebanyak 426 acara dalam 31 jenis sukan bakal dipertandingkan pada Sukma ke-20.
Bercakap pula mengenai sukan angkat berat yang mungkin disenaraikan kembali sebagai sukan teras, beliau tidak menolak kebarangkalian tersebut memandangkan prestasi baik yang dipamerkan atlet angkat berat pada Sukan SEA dan Sukan Komanwel, baru-baru ini.
“Sebab itu, MSN akan pertimbangkan kembali penyertaan angkat berat ke dalam sukan teras, namun, mereka juga perlu terus kekalkan momentum dan perhebatkan lagi prestasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE