PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menafikan dakwaan pengendali Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak yang mendakwa tindakan Kim Pan Gon membawa dua pemainnya, Declan Lambert dan Zhafri Yahya ke Chiang Mai sebagai ‘makan angin’.
Tegasnya, adalah menjadi kebiasaan bagi mana-mana pasukan kebangsaan untuk membawa 25 pemain dan terdapat pemain yang tidak diturunkan.
Hamidin turut memberi amaran kepada Bojan agar berhenti memberi komen negatif dan sepatutnya jurulatih dari Croatia itu memahami situasi tersebut kerana pernah menjadi ketua jurulatih bawah 19 (B-19) tahun negara.
“Bojan Hodak pernah menjadi jurulatih skuad B-19 negara dan dia sepatutnya faham keadaan ini.
“Sudah tentu daripada 25 pemain yang dibawa mana-mana pasukan kebangsaan tidak akan semuanya dapat beraksi tetapi mereka tetap diberi latihan dan perkara ini seharusnya difahami.
“Peringatan saya kepada Bojan Hodak, cukup untuk memberi komen setakat ini kerana termasuk semalam sudah dua kali dia beri komen,” tegas Hamidin.
Beliau berkata demikian ketika majlis pecah tanah Seriemas Sportsplex di Nilai, Negeri Sembilan yang menyaksikan dua padang bola sepak bersaiz FIFA dan tiga padang futsal akan dibangunkan di Kota Seriemas, Nilai Negeri yang dijadualkan akan siap menjelang suku pertama 2023.
Hodak sebelum ini pernah memohon FAM untuk mengecualikan dua pemainnya daripada menyertai misi negara kerana skuad Harimau Malaya hanya beraksi dalam pertandingan persahabatan, berbanding pasukannya yang dalam persiapan menghadapi Final Antara Zon Piala AFC menentang kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana di Stadium Sogdiana, Rabu depan.
Begitupun, permintaan itu ditolak kerana Pan Gon mahu mengekalkan skuad 24 pemainnya, sekali gus memaksa KL City melepaskan Declan dan Zhafri.
Dalam pada itu, Hamidin berpuas hati dengan persembahan Harimau Malaya pada Piala Raja Thai di Chiang Mai baru-baru ini kerana tidak tewas dan dapat mengutip mata ranking dunia.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana kita dapat mengutip mata untuk memperbaiki ranking apabila berhadapan lawan yang lebih tinggi rankingnya daripada kita.
“Bagaimanapun kita perlu lebih konsisten dalam persembahan selepas ini dan mengutip mata sedikit demi sedikit,” katanya.
Skuad kebangsaan bakal dikumpulkan semula bagi menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric dari 20 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023.