PETALING JAYA: Hasrat untuk melihat skuad kendalian Arul Selvaraj meneruskan momentum kemenangan dalam siri kedua aksi persahabatan di Eropah tidak kesampaian apabila dibelasah 7-0 oleh Belgium dalam aksi yang berlangsung di Sportcentrum Wilrijkse Plein, Antwerp sebentar tadi.
Terdahulu, The Speedy Tigers membuat kejutan dalam perlawanan pertama semalam apabila melakar kemenangan 1-0 ke atas pasukan Belgium A hasil jaringan Razie Abdul Rahim menerusi pukulan sudut penalti.
Bagaimanapun skrip tersebut tidak dapat diulangi apatah lagi pasukan Belgium yang turun pada aksi hari ini adalah berbeza kerana rata-ratanya dibarisi tonggak yang membantu negara itu meraih gelaran Piala Dunia pada edisi 2018.
Skuad Belgium dilihat terlalu ampuh apabila mendahului 3-0 pada dua suku pertama permainan, dan terus menambah derita skuad negara dengan meledak 4 gol untuk baki dua lagi suku permainan.
Meskipun skuad negara gagal menjaringkan sebarang gol, Arul tetap memuji semangat juang anak buahnya yang tetap berusaha memberikan saingan buat Belgium kini menghuni ranking no. 2 dunia berbanding Malaysia yang berada tangga kesepuluh.
“Walaupun kita tewas dengan keputusan 0-7, banyak perkara kita lakukan dengan bagus, antaranya pergerakan bola dengan cubaan memecah benteng pertahanan lawan, statistik kita juga lebih baik, kita mendapat dua peluang menerusi pukulan sudut penalti, namun gagal dimanfaatkan, kita mudah terleka dalam kawasan sendiri selain kurang memberikan tentangan buat lawan sekaligus menjadi perbezaan antara kita dan Belgium untuk perlawanan pada hari ini.
“Dari segi harapan menentang Perancis untuk baki dua lagi perlawanan persahabatan, saya mengharapkan kita mampu mencapai kemenangan selesa.
“Banyak perkara yang positif pemain saya telah tampilkan dalam dua perlawanan menentang Belgium jadi pastinya saya mengharapkan akan ada peningkatan dan keberanian dapat dibawa untuk mengharungi perlawanan seterusnya,” tambah Arul.
Selepas ini, Malaysia dijadualkan akan turun menentang Perancis pada perlawanan ketiga siri jelajah Eropah pada Selasa depan.