KUALA LUMPUR: Selepas menepati ramalan mengungguli acara 100 meter (m), jaguh pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi memburu kejuaraan berganda, malah menyasarkan untuk mencatat masa peribadi terbaik apabila turun untuk saingan 200m esok.
Semalam, Azeem, 18, dinobat sebagai Raja Pecut Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 tanpa berdepan masalah apabila melepasi garisan penamat dengan masa 10.25 saat (s), mengatasi pesaing rapat, dari Johor, Arsyad Md Saat (10.46s) dan Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan (10.50s).
Biarpun catatan itu jauh daripada rekod kebangsaan yang dilakukan di Colombia bulan lalu, 10.09s, selain tidak memecah rekod temasya milik Khairul Hafiz Jantan, 10.18s yang dilakukan di Sukma 2016, namun Azeem tetap berkeyakinan untuk berlari laju dalam 200m.
“Mengenai catatan masa, saya memang tak sasar melakukan bawah 10s, saya cuma hendak kekalkan bawah 10.30s.
“Sukma kali ini adalah yang kedua buat saya dan temasya 2018 saya sekadar menghuni kedudukan tercorot.
“Bagi 200m saya sasarkan untuk melakukan bawah 21 saat. Saya akan berlari dengan cara sendiri dan lebih berhati-hati dengan cabaran yang diberi Arsyad, Haiqal dan Zulfikar (Ismail),” ujarnya.
Rekod 200m kebangsaan dipegang Russel Alexander Nasir Taib iaitu 20.77s, manakala catatan masa peribadi terbaik Azeem adalah 20.83s yang dilakukan pada Kejohanan Remaja Dunia di Cali.