PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon melantik Safawi Rasid sebagai salah seorang daripada tiga kapten Harimau Malaya untuk menghadapi Piala Raja Thailand yang berlangsung di Chiang Mai dari 22 hingga 25 September depan.
Selain pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, turut menjadi pilihan untuk memakai lilitan ketua pasukan adalah Syafiq Ahmad dan Dion Cools.
Syafiq dan Dion sebelum ini bersama-sama penjaga gol, Farizal Marlias serta Safiq Rahim merupakan empat kapten Harimau Malaya ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu.
Bagaimanapun dengan ketiadaan Farizal dan Safiq bagi kem latihan pusat kali ini, Safawi telah dinamakan sebagai pengganti untuk membentuk gandingan tiga kapten Harimau Malaya. – UTUSAN ONLINE