Rexy tebus satu lagi dosa besarnya

Rexy tebus satu lagi dosa besarnya

REXY Mainaky (dua, kanan) membawa Aaron Chia-Soh Wooi Yik nuncul juara dunia di Tokyo.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REXY Mainaky menebus satu lagi dosa besarnya terhadap badminton negara susulan kemenangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik selaku juara beregu dunia di bumi Tokyo.

Sekalipun pujian sepenuhnya wajar diberi kepada Aaron-Wooi Yik, teknik dan taktik pasangan itu dikemaskan oleh Rexy, pakar kelahiran pulau Ternate di Maluku Utara, Indonesia.

Namun satu ketika dahulu, Rexy adalah tembok penghalang impian negara.

Tanyalah peminat badminton tempatan sepanjang era 90-an, Rexy antara nama paling dibenci kerana sentiasa menafikan kemenangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock di pentas besar seperti Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.

Garis yang memisahkan mereka cukup nipis, namun entah kenapa kemenangan kerap memihak Rexy dan pasangannya, Ricky Subagja. Pertembungan dengan Soon Kit-Kim Hock, sama ada di pentas Sukan SEA, Sukan Asia, Seluruh England, Kejohanan Dunia dan Olimpik – sentiasa bersifat epik.

REXY Mainaky dan Ricky Subagja (tengah) mengecewakan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (kiri) pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.

Seluruh Malaysia bungkam apabila Soon Kit-Kim Hock tumbang 15-8, 15-6 di kaki Rexy-Ricky pada separuh akhir Kejohanan Dunia BWF di Dewan Malley di Lausanne, Switzerland pada Mei 1995 dalam laluan beregu Indonesia itu menjulang gelaran dunia pertama mereka.

Di Olimpik Atlanta pada Julai 1996, badminton negara sekali lagi dilanda kecewa. Soon Kit-Kim Hock kecundang menerusi tiga set di final beregu lelaki yang berkesudahan Rexy dan Ricky berguling-guling dipeluk di atas gelanggang oleh jurulatih mereka, Christian Hadinata.

Namun kisah lama ini sudah lama disimpan dalam kotak memori Rexy.

Dilamar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kali pertama pada 2005, Rexy memasang misi menebus dosa-dosanya terhadap Malaysia.

REAKSI Rexy yang melutut kepada Aaron Chia mencuri perhatian peminat badminton negara.

Dosa pertama Rexy ditebus dengan kejayaan membentuk gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. Pasangan itu mengejutkan pemerhati apabila mengutip emas di Sukan Asia Doha hanya dalam tempoh dua bulan digandingkan pada 2006.

Mereka meneruskan rentak kemenangan dengan membolot kejuaraan Terbuka Malaysia, Seluruh England dan Terbuka Switzerland dalam tempoh yang singkat pada awal 2007. Prestasi memuncak yang mendadak ini mengharumkan nama Rexy sehingga beliau dikurniakan status Penduduk Tetap pada Julai 2007.

Serentak itu, Rexy mengumumkan hutang-hutangnya terhadap Malaysia harus dilangsaikan.

Meninggalkan Kuala Lumpur dan rumahnya di Segambut untuk disewakan menuju Manila pada 2012 dan seterusnya Bangkok, Rexy menyedari ada lagi hutang yang belum dilangsaikan.

Tunjuk ajar dan asuhannya membuka laluan kepada Aaron-Wooi Yik melakar sejarah di Tokyo. Dengan kemenangan ini, Aaron-Wooi Yik memadam kekecewaan generasi terdahulu.

Lupakan kekalahan Razif-Jalani Sidek di tangan Li Yongbo-Tian Bingyi di Beijing 1987. Begitu juga kekalahan Soon Kit-Soo Beng Kiang di Birmingham 1993, Soon Kit-Kim Hock di Glasgow 1997 serta memori Kien Keat-Boon Heong tewas kepada Cai Yun-Fu Haifeng di Paris 2010.

Rexy ada satu lagi hutang terbesar yang harus dilunaskan – di Paris 2024. Seluruh Malaysia akan mengampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.

*Penulis adalah bekas hos rancangan bual bicara sukan Dengan Izin di Astro Arena dan memiliki pengalaman membuat liputan sukan lebih tiga dekad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya