Mocke menang peringkat pertama, Aimi Ayumi lakar kejutan

Mocke menang peringkat pertama, Aimi Ayumi lakar kejutan

DAWID Mocke memenangi peringkat pertama kategori utama dalam kejohanan kanu antarabangsa, Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 di Pantai Hiburan, Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Dawid Mocke membuktikan statusnya selaku juara dunia empat kali apabila memenangi peringkat pertama kategori utama dalam kejohanan kanu antarabangsa, Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2022 di Pantai Hiburan Rompin di sini hari ini.

Bersaing dalam kategori Open International Single Ocean Race yang menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 untuk juara keseluruhan, jaguh dari Afrika Selatan itu menamatkan perlumbaan sejauh 14 kilometer selaku pemenang.

Tempat kedua dimenangi Jenkinson Kent dari Australia yang mencatat masa satu jam 19.67 saat, diikuti rakan senegaranya yang juga bekas naib juara dunia bawah 23 tahun, MacKenzie Hynard.

Peserta Malaysia, Aimi Ayumi Azwan mencipta kejutan dalam acara utama ini apabila menduduki tempat ketiga bagi kategori wanita.

Perlumbaan peringkat pertama hari ini berlangsung dalam cuaca baik dengan keadaan agak mendung dan kadangkala hujan renyai. Keadaan laut yang tenang juga membantu para pelumba untuk mendayung laju, terutama Mocke yang mencatat kelajuan lima kilometer sejam.

Mocke mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang menunjukkan kesungguhan dalam perlumbaan yang masih baharu bagi mereka.

“Sentiasa sahaja ada seorang Aussie (peserta dari Australia) yang menjadi pencabar kuat, apa yang boleh saya katakan ialah saya akan cuba memegang kedudukan pendahulu selama yang boleh,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlumbaan tersebut.

Kent, 25, pula mengakui terkejut dengan pencapaiannya dan tidak menjangka berada di tempat kedua.

“Saya menjangkakan akan menamatkan perlumbaan di tempat kelima atau enam, jadi sudah tentu ini akan memberikan semangat kepada saya,” katanya.

Sementara itu, juara dunia 2019 Danielle MacKenzie menepati jangkaan apabila menguasai acara wanita.

Jaguh dari New Zealand itu melintasi garisan penamat dengan berada 13 minit di hadapan pemenang tempat kedua Irin Neegree dari Thailand, manakala Aimi Ayuni berada rapat di tempat ketiga.

“Inilah cara kami berlumba di Australia dan New Zealand, laju dari awal dan mengekalkan rentak. Cabaran hari ini ialah kehadiran angin dari hadapan tetapi secara keseluruhannya saya gembira untuk hari ini,” kata MacKenzie.

Aimi Ayuni pula berkata, tidak menjangka untuk mencipta kejayaan yang dilihat sesuatu yang begitu memberangsangkan bagi dirinya dan juga negara ini.

“Ini kali pertama saya menyertai perlumbaan seperti ini jadi saya tidak meletakkan sebarang sasaran. Saya hanya mendayung tanpa memikirkan apa-apa tetapi apabila melihat saya sudah dekat dengan Irin saya jadi semakin bersemangat.

“Saya fikir kelebihan saya hari ini ialah kerana saya tidak berhenti untuk minum. Untuk perlumbaan esok, saya akan cuba meninggalkan Irin lebih awal supaya dia tidak boleh mencuri ombak daripada saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya