Pergilah cari ilmu di AS Azeem, lebarkan sayap

Pergilah cari ilmu di AS Azeem, lebarkan sayap

AZEEM Fahmi muncul Raja Pecut Sukma 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERAKHIR sudah Sukma ke-20, Sabtu lalu membuktikan sukan Malaysia tidak ketandusan bakat, apatah lagi melihat 21 rekod kebangsan pecah dalam kanu (13), menembak (5), berbasikal (2) dan renang (1).

Kejayaan Johor dinobat sebagai juara keseluruhan buat kali pertama (77 emas) sejak temasya diperkenalkan pada 1986 juga merancakkan lagi persaingan dalam kalangan atlet peringkat umur.

Sentimen yang dibawa kontinjen Johor lebih kurang de­ngan skuad bola sepak mereka, JDT yang dicemburui dalam Liga Malaysia dan mendorong pasukan lain bekerja lebih keras bagi mengalahkan mereka.

Secara keseluruhan, matlamat asal Sukma untuk menjadi gudang bakat tidak pernah tersasar selepas 20 edisi dianjurkan.

Begitupun bagi atlet yang sudah berada di tahap lebih tinggi seperti Azeem Fahmi, Sukma atau saingan domestik lain tidak mampu ‘menolaknya’ pergi lebih jauh.

Memang belum ada kejua­raan utama diraih pelari berusia 18 tahun itu, namun kejayaan memecah rekod 100 meter (m) kebangsaan pada Kejohanan Remaja Dunia di Colombia, bulan lalu membuktikan dia memiliki potensi amat besar.

Ramai mengharapkan Azeem dapat menyamai atau sekurang-kurangnya mendekati rekod kebangsaan 10.09 saat (s) yang dilakukan di Cali.

Ya, Azeem memenangi emas seperti dijangkakan tetapi catatan 10.25s yang dilakukan bukan sahaja jauh dari rekod kebangsaan, malah tidak dapat menyaingi rekod temasya Khairul Hafiz Jantan (10.18s) yang dilakukan di Sarawak pada 2016.

Bukan kerana prestasinya tidak bagus atau tak konsisten tetapi persaingan yang diterima tidak cukup untuk ‘menolaknya’ berlari lebih pantas.

Azeem perlu keluar dari kelompok selesa. Tidak kisah­lah kalau dia tidak lagi mendominasi trek, asalkan persaingan yang diterima mampu menolaknya meluncur lebih jauh.

Dengan catatan peribadi yang dimiliki dan latar belakang akademik yang bagus, Amerika Syarikat (AS) adalah pentas terbaik buat atlet muda Perak itu mengembangkan bakat.

Peluang beraksi dalam ­divisyen satu Kejohanan Per­satuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) akan menawarkan persekitaran kompetitif jika Azeem memilih AS sebagai pangkalan latihan baharunya.

Dengan divisyen satu NCAA hanya dikhaskan kepada atlet yang mempunyai prestasi kelas dunia, catatan 10.09s milik Azeem melayakkannya beraksi di sana.

Bila mendapat sentuhan jurulatih antarabangsa dan persaingan lebih sengit, tidak mustahil ia akan mendorong Azeem menjadi pelari pertama negara mencatat masa bawah 10s.

Berpegang teguh dengan pendirian mahu fokus kepada pelajaran sebelum menjadi atlet profesional, AS juga menawarkan beberapa universiti terbaik untuk Azeem memenuhi misi serampang dua mata – cemerlang dalam akademik dan sukan.

Azeem sudah menerima tawaran daripada lebih 10 universiti di AS bagi melanjutkan pengajian dan mengembangkan bakatnya dalam olahraga.

Selain Universiti Houston dan Universiti Auburn, dia turut menerima tawaran antaranya daripada Universiti Louisiana, Universiti Texas A&M serta Universiti Georgia.

Semoga berkelana ke luar negara akan membantu Azeem mengembangkan bakat, namun paling penting dia harus memilih tempat yang tepat untuk dijadikan pangkalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya