KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Perak memulakan kempen Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dengan langkah sumbang apabila tumpas 0-2 kepada Selangor dalam acara bola sepak lelaki di Arena Universiti Malaya (UM), hari ini.
Selangor yang dibarisi oleh pemain Selangor FC II, skuad bawah 21 tahun (B-21) dan B-19 kini menerajui kumpulan, berkongsi tiga mata bersama Wilayah Persekutuan yang turut bermula baik pada hari pertama bola sepak.
Wilayah Persekutuan memulakan pemburuan pingat emas dengan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium UKM, Bangi.
Jaringan tunggal Suhaimi Abu pada awal babak kedua memberikan tiga mata penuh buat skuad bimbingan Zolkipli Samion itu.
Beraksi dalam keadaan cuaca yang panas dilihat memberi kesan buat pemain kedua-dua pasukan apabila mengalami kekejangan otot terutamanya selepas 15 minit perlawanan berlangsung.
Tiada sebarang gol terhasil pada babak pertama walaupun Negeri Sembilan dilihat lebih mendominasi perlawanan dengan tekanan berterusan ke atas Wilayah Persekutuan.
Suhaimi Abu muncul wira skuad Wilayah Persekutuan menerusi jaringan pada awal babak kedua sekaligus mengutip tiga mata berharga dalam kumpulan yang diisi empat pasukan.
Negeri Sembilan di bawah kendalian Azzmi Ab Aziz turut mencipta beberapa peluang berbahaya tetapi dinafikan kecemerlangan penjaga gol simpanan Kuala Lumpur City FC, Azim Al Amin Kamaruddin.
Sementara itu, Zolkipli menyifatkan kejayaan diraih adalah hasil keras semua pemain yang berdisiplin dari awal perlawanan sehinggalah tamat.
“Kejayaan hasil usaha pemain dan pastinya mencerahkan peluang untuk ke pusingan seterusnya,” ujarnya ditemui selepas perlawanan. – UTUSAN ONLINE