PETALING JAYA: Pemain beregu negara, Wan Muhammad Arif Wan Junaidi terpaksa mencari pasangan baharu kerana dia kini bermusuhan dengan Muhammad Haikal Nazri dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang membuka tirai Jumaat ini.
Arif, 20, bakal mewakili Terengganu, manakala Haikal, 19, pula beraksi bersama negeri kelahirannya, Kelantan.
Justeru Arif terpaksa bergandingan dengan pemain lain pada penampilan kedua di Sukma, malah tidak mustahil dia menentang Haikal dalam misi memburu pingat emas.
“Peluang dan cabaran untuk dapat emas itu mungkin susah sikit sebab pasangan lain dalam negeri-negeri ini ada juga daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Jadi, agak susah sikit dan persaingan itu nanti memang akan sengit. Tak mudah untuk dapatkan emas.
“Terpulang juga kepada jurulatih Terengganu untuk letakkan saya di mana dan bermain dengan siapa. Saya akan ikut saja arahan daripada jurulatih.
“Setakat ini jurulatih Terengganu minta saya persiapkan diri untuk acara beregu disebabkan kepakaran saya juga memang lebih kepada beregu.
“Kalau untuk beregu saya mungkin akan bergandingan bersama Shahrul Mat Desa yang juga pasangan saya ketika bawah 12 tahun (B-12) sebelum ini,” jelas Arif yang menyerahkan segala keputusan kepada ketua jurulatih badminton Terengganu, Abdillah Awang Besar.
Selain Arif dan Haikal, yang terkenal dengan julukan Patatimo Boys, dua lagi rakan mereka dalam kem kebangsaan, Tee Kai Wun dan Man Wei Chong turut akan beraksi dalam Sukma pada edisi kali ini dengan mewakili negeri Melaka.