Nur Zariefah bantu Negeri Sembilan juarai hoki MSSM

Nur Zariefah bantu Negeri Sembilan juarai hoki MSSM

PASUKAN hoki perempuan bawah 12 tahun Negeri Sembilan meraikan kejayaan muncul juara kejohanan MSSM 2022 di Kuantan, Pahang kelmarin. - UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Nur Zariefah Dania Mazlan dinobat sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 ketika membantu Negeri Sembilan muncul juara bawah 12 tahun (B-12) kelmarin.

Pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Besar Tampin, Nur Zariefah itu meledak satu daripada tiga jaringan Negeri Sembilan ketika menumpaskan Pahang 3-1.

Nur Zariefah menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu kemenangan buat seluruh pasukan yang telah memberi aksi terbaik sepanjang  empat hari kejohanan.

NUR Zariefah Dania Mazlan menunjukkan anugerah pemain terbaik yang dimenanginya kelmarin. – UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.

Katanya, semua pemain dan pegawai pasukan telah berhempas pulas merangka strategi sehingga membolehkan mereka bergelar juara.

“Saya tidak jangka dapat anugerah ini yang akan menjadi penyuntik semangat untuk terus maju dalam sukan hoki tanah air,” kata anak bongsu tiga adik beradik itu.

Menurut Nur Zariefah, dia bercita-cita untuk menjadi pemain hoki kebangsaan apabila dewasa kelak.

Sementara itu, skuad lelaki Negeri Sembilan B-12 menduduki tangga keempat selepas tumpas kepada Pahang 0-2 melalui pukulan penalti selepas seri 1-1 pada masa perlawanan sebenar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN