PETALING JAYA: Menyifatkan pemilihannya sebagai Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus Perpaduan 2020/2021 buat kali keempat sebagai penyuntik semangat untuk menjalani proses pemulihan, Datuk Azizulhasni Awang meminta peminat menanti kepulangannya tidak lama lagi.
Semalam, pelumba berusia 34 tahun itu dinobat sebagai Atlet Terbaik Anugerah SAM buat kali keempat hasil kejayaan memenangi pingat perak acara keirin dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.
Azizulhasni sedang melalui fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung, April lalu.
“Alhamdulillah saya sekali lagi dinobatkan sebagai pemenang Atlet Terbaik untuk Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus Perpaduan 2020/2021.
“Kemenangan ini akan saya jadikan sebagai pemangkin semangat buat diri saya yang sekarang dalam proses pemulihan daripada pembedahan jantung untuk kembali ke puncak prestasi dan kembali mkerancakkan sukan negara.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa pemilihan, SAM, 100Plus dan penaja-penaja saya dan semua warga media yang sentiasa bekerja keras serta tidak lupa semua penyokong yang sentiasa mendoakan saya.
“Insya-Allah The Pocket Rocketman will be back (akan kembali),” katanya dalam video yang dimuat naik di media sosial hari ini.
Azizulhasni yang pernah memenangi anugerah Atlet Terbaik SAM pada 2009, 2017 dan 2019 sebelum ini disahkan mengalami masalah jantung arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA).
Dia selamat menjalani pembedahan di Hospital Epworth Richmond, Melbourne pada 21 April lalu.
Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley sebelum ini memberi bayangan Azizulhasni bakal menggegar trek dengan misi utama adalah untuk menyinar di pentas Sukan Asia dekat Guangzhou, September tahun depan. – UTUSAN ONLINE