PETALING JAYA: Malaysia berjaya mengelak daripada berada dalam kumpulan maut pada Hoki Piala Dunia yang akan berlangsung di Bhubaneswar, India bermula 13 hingga 29 Januari tahun hadapan.
Dalam majlis undian yang berlangsung hari ini, skuad Speedy Tigers diletak dalam kumpulan C bersama pasukan No. 3 dunia, Belanda, New Zealand serta pasukan yang akan membuat penampilan sulung pada kejohanan ini, Chile.
Atas kertas, cabaran utama Malaysia di peringkat kumpulan hadir daripada juara dunia tiga kali yang juga naib juara edisi 2018, Belanda.
Malaysia pula sudah 11 tahun tidak pernah menewaskan gergasi Eropah itu sejak kali terakhir melakukanya dalam Piala Dunia 1976 di Kuala Lumpur menerusi kemenangan 2-1.
“Setakat ini berdasarkan undian tersebut, boleh dilihat ia memihak kepada kita, saya amat gembira dan berpuas hati untuk berada dalam kumpulan itu, jadi kami harus berusaha pamerkan aksi terbaik untuk meloloskan diri dari saingan peringkat kumpulan dan mara ke pusingan seterusnya.
UNDIAN HOKI PIALA DUNIA 2023
“Secara realistiknya, kami kena menang apabila menentang New Zealand dan Chile, manakala pertemuan menentang Belanda, kami perlu bermain dengan lebih bijak.
“Secara peribadi, sasaran saya adalah kami mampu melepasi peringkat kumpulan dan mara ke suku akhir,” jelas ketua jurulatih negara, Arul Selvaraj.
Skuad hoki negara akan berlepas ke Barcelona 14 September depan bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Sepanyol dan Perancis, disusuli jadual padat menyertai Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 1 November, kemudian Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Potchefstroom, Afrika Selatan pada 28 November sebagai persediaan ke Piala Dunia. – UTUSAN ONLINE