Malaysia enggan jadi ‘pelengkap’

Malaysia enggan jadi ‘pelengkap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia satu-satunya skuad kebangsaan yang beraksi dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 tidak mahu sekadar menjadi pelengkap, sebaliknya bertekad membuat impak pada perlumbaan berprestij itu yang akan membuka tirai 11 Oktober ini.

Ketua jurulatih berbasikal negara, Mohd. Yusof Nasir berkata, kehadiran sejumlah besar pasukan Jelajah Dunia dan Pro Continental peluang terbaik buat mereka merasai persaingan peringkat tertinggi.

Katanya, ia juga kesempatan bagi pelumba Malaysia membuktikan kebolehan dan keupayaan bersaing dengan pelumba profesional sekali gus meletakkan sasaran untuk berada di podium dalam mana-mana peringkat saingan.

“Saya yakin mereka yang terpilih untuk berlumba dalam jelajah tahun ini telah membuat persediaan rapi tetapi mereka hanya berpeluang bersaing dalam perlumbaan peringkat tempatan sahaja. Tumpuan sekarang untuk memastikan kecergasan dan ketahanan mereka menjelang hari perlumbaan.

“Harapan saya agar pelumba kita dapat memberi impak lebih bermakna dan sentiasa agresif untuk memisahkan diri daripada kelompok pelumba. Saya tidak mahu mereka beranggapan penyertaan dalam perlumbaan ini sekadar untuk mengisi angka sahaja,” katanya dalam satu kenyataan semalam/

Skuad kebangsaan hanya bertanding dalam dua perlumbaan antarabangsa tahun ini iaitu Jelajah Thailand pada April dan Sukan SEA di Vietnam pada Mei.

Mohd. Yusof berkata enam pelumba terpilih dan dua pelumba simpanan telah mengikuti latihan di bawah penolong jurulatih Amir Mustapha.

Semua pelumba yang kini sedang menjalani latihan adalah Nik Mohd. Azwan Zulkiflie, Sofian Nabil Omar Bakri, saudara kembar Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dan pelumba termuda Kee Zha Yie, manakala Ariff Danial Noor Roseibi dan Norhasmat Abdul Aziz sebagai pelumba simpanan.

LTdL 2002 sejauh 1,096.9 kilometer itu, bermula dengan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur, diikuti Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub), Peringkat 3 (Putrajaya-Genting Highlands), Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya), Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim), Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar), Peringkat 7 (Kuah-Gunung Raya) dan berakhir dengan Peringkat 8 Loop Langkawi.

Edisi ke-26 itu menjanjikan saingan sengit dengan penyertaan enam pasukan Jelajah Dunia – UAE Team Emirates (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya