PETALING JAYA: Jika jumlah dana dan barisan pemain dimiliki Kuala Lumpur City (KL City) menjadi ukuran, ramai tidak menjangkakan mereka mampu melangkah jauh dalam Piala AFC.
Begitupun kelmarin, skuad The City Boys memahat sejarah mara ke final Antara Zon Piala AFC selepas mengejutkan ATK Mohun Bagan FC 3-1 di Kolkata.
Bekas legenda Kuala Lumpur era 1980 dan 1990-an Mat Zan Mat Aris berkata, setiap pemain skuad bimbingan Bojan Hodak memiliki aura tersendiri biarpun bukanlah nama besar dalam Liga Malaysia (Liga M).
Katanya, semua pemain The City Boys menunjukkan minat tinggi untuk bermain bola lebih daripada mengejar duit seperti kebanyakan pemain lain.
“Apa yang saya lihat dalam pasukan KL City, semua pemain meletakkan keinginan untuk bermain bola sepak nombor satu dan duit perkara kedua.
“Pasukan ini boleh dikatakan tidak memiliki nama besar, jadi masing-masing memiliki peluang untuk mengisi kesebelasan utama.
“Keserasian dalam pasukan juga dapat dilihat apabila kebanyakan pemain sudah lama bersama dan ia kunci untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat kerana bola sepak sukan berpasukan bukan individu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Biarpun hanya memiliki bajet kecil, RM10 juta setahun, namun pencapaian besar yang diraih KL City pasti menjadi tamparan buat kebanyakan kelab Liga M yang masih terkial-kial untuk mengukuhkan kedudukan di pentas Asia.
Kejayaan KL City juga melonjak kedudukan Malaysia dalam ranking MA Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Menerusi kemas kini terbaharu ranking MA oleh laman sesawang FootyRanking, Liga M menghimpun 49.722 mata, naik satu anak tangga ke kedudukan kelapan Asia.
Malaysia juga kekal No. 1 dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan Vietnam di belakang (44.656 mata), diikuti Thailand (40.261 mata), Singapura (20.429 mata), dan Indonesia (14.702 mata).
Kedudukan tinggi dalam AFC MA Ranking memberi lebih banyak slot untuk kelab Malaysia dalam Liga Juara-Juara musim 2024/25.
Ketika ditanya mengenai perbezaan pasukan Kuala Lumpur ketika zaman kegemilangan 1987 hingga 1989 dengan pasukan sekarang, Mat Zan menjelaskan setiap pasukan berhak mencipta sejarah tersendiri.
“Masing-masing ada sejarah tersendiri dan ia tidak boleh dibandingkan. Sebagai bekas pemain KL tentu sekali saya berbangga dengan kejayaan yang telah dicipta pasukan KL ketika ini,” jelasnya.