KUALA NERUS: Selepas tiga hari berlalu sejak kekalahan Terengganu FC kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala FA, Rahadiazli Rahalim akhirnya meminta maaf kerana gagal membawa kejuaraan buat Sang Penyu.
Penjaga gol muda berusia 21 tahun itu mengakui, kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan tersebut menyebabkan mereka terpaksa membayar harga tinggi apabila tumpas 1-3 kepada Harimau Selatan.
“Saya mengakui kesilapan melepaskan dua gol mudah iaitu gol kedua JDT (sepakan penalti) dan gol ketiga dengan tindakan melulu keluar meninggalkan posisi.
“Di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kerana kesilapan itu membuatkan TFC gagal membawa pulang trofi Piala FA ke bumi Terengganu selepas 11 tahun menanti.
“Jurulatih juga memberi nasihat agar melupakan mimpi buruk itu dan saya berazam membaiki prestasi serta bangkit membantu pasukan TFC,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Rahadiazli, final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu memberi pengajaran besar buatnya dan akan digunakan untuk memperbaiki persembahan pada masa hadapan.
Kini misi Rahadiazli hanya satu, kembali bangkit selepas tersenarai dalam 25 pemain skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon ke Thailand, minggu depan.
Katanya, dia berharap dapat mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama bertemu Penang FC malam ini bagi menebus kehampaan mereka.
Katanya, TFC mahu bangkit dan kembali ke landasan kemenangan untuk merebut kedudukan terbaik dalam Liga Super yang berbaki lima perlawanan dalam misi meraih slot automatik ke Piala AFC 2023.
“Selain rakan-sepasukan dan jurulatih, penyokong TFC juga banyak memberi kata-kata semangat untuk kami bangun semula dalam baki saingan musim ini,” ujarnya.