KOTA BHARU: Kelantan optimis mampu membawa pulang 13 pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kuala Lumpur yang akan membuka tirai pada 16 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi acara muay thai, olahraga dan ragbi dalam usaha mengubati kekecewaan dalam saingan sebelum ini iaitu enam pingat emas.
“Walaupun kita tidak cukup infrastruktur, namun Kerajaan Pusat tetap membantu persiapan kontijen Kelantan untuk menghadapi saingan di Sukma nanti.
“Dengan segala persiapan dan latihan berterusan sejak dua tahun lalu walaupun terpaksa dilakukan secara dalam talian akibat pandemik Covid-19,” katanya selepas majlis penyerahan bendera Kontijen Kelantan Sukma ke-20 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Wan Roslan memberitahu, bagaimanapun mental atlet Sukma Kelantan tidak terkesan sebaliknya bersemangat untuk berentap di kejohanan paling prestij itu.
Katanya, dia mahu atlet turut memberikan persembahan terbaik dalam setiap kali beraksi.
“Sukma kali Kelantan akan menyertai 27 acara iaitu bola sepak, wusyu, olahraga, hoki, kriket, angkat berat, badminton, basikal, pencak silat, memanah, tinju dan Muay Thai,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Wan Roslan menjangkakan lampu limpah di Stadium Sultan Muhammad IV akan dapat digunakan pada 30 September ini.
Katanya, ia sekali gus menyaksikan antara Kelantan FC dengan Kelantan United FC akan berlangsung pada waktu malam. – UTUSAN ONLINE