SETIA ALAM: Saingan Liga Juara-Juara Remaja Milo musim pertama melabuhkan tirainya semalam dengan lima pasukan muncul juara kategori masing-masing.
Kejohanan yang merupakan kesinambungan daripada Piala Cabaran Milo yang diadakan pada Jun lalu menyaksikan 12 pasukan terbaik dalam lima kategori iaitu bawah (B) 8 tahun, B-10, B-12, B-14, B-17) berentap mempamerkan kehebatan.
Dalam final kategori utama iaitu B-17 yang berlangsung di Arena JSA, JSA United muncul juara selepas menewaskan Akademi Felda Red Hawks 4-0.
Muhammad Sufian Azim yang menjaringkan dua gol dinobat selaku pemain terbaik bagi musim ini.
“Saya gembira dapat beraksi dengan cemerlang pada perlawanan akhir. Saya mahu mencuri tumpuan pasukan pencari bakat yang hadir di sini agar saya dapat mewakili pasukan muda negara satu hari nanti,” kata Sufian.

Mengulas mengenai kerjasama Milo dan JSA bagi penganjuran kejohanan ini, Pengurus Pemasaran Milo Malaysia, Kerwin Lim berkata pihaknya akan terus menyatakan komitmen bagi merancakkan lagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
“Milo sentiasa percaya dan yakin bahawa sukan adalah satu platform terbaik untuk mendidik anak muda mengenai nilai dan prinsip kehidupan.
“Malah, kerjasama Milo dan Akademi JSA ini berkongsi matlamat yang sama iaitu ingin melahirkan lebih ramai pemain-pemain muda yang berkualiti melalui penganjuran pertandingan ini,” katanya
Dalam pada itu, pemilik bersama Akademi JSA, Steven Lim menzahirkan penghargaan kepada Milo Malaysia di atas komitmen mereka membantu terhadap penganjuran kejohanan ini.
“Kami menghargai keyakinan dan sokongan Milo terhadap kami untuk menganjurkan kejohanan seumpama ini. Mereka memainkan peranan yang penting dalam membantu menyediakan pentas kompetitif buat pemain muda untuk menyinar,” katanya.
Sebagai rekod, Liga Juara-Juara Remaja Milo akan memasuki musim kedua pada Oktober ini dengan format baharu apabila dua divisyen akan diperkenalkan bagi merancakkan lagi kejohanan ini selain perancangan untuk menarik penyertaan daripada pasukan cilik wanita. – UTUSAN ONLINE