PETALING JAYA: ‘Aura’ Johor kini berbeza selepas dinobat sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, malah kontinjen Harimau Selatan melaungkan amaran mahu mengekalkan kejuaraan pada temasya 2024 dengan menyasarkan 70 pingat emas.
Jika Johor menjadi tuan rumah edisi ke-21, dua tahun dari sekarang, semangat atlet mereka pasti lebih sukar dibendung kerana beraksi di depan ribuan penyokong sendiri.
Hanya meletakkan 40 pingat emas sebagai sasaran awal pada temasya kali ini, Johor bagaimanapun pulang dengan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa, sekali gus muncul juara baharu Sukma sejak temasya diperkenalkan pada 1986.

“Untuk Sukma kali ini, kami sasarkan awalnya 40 pingat emas dan untuk menjadi juara sekali lagi bagi edisi akan datang, saya mungkin minta MSN (Majlis Sukan Negeri) Johor sasarkan sekurang-kurangnya 70 pingat emas.
“Sebenarnya kami sudah buat analisis, 40 pingat emas boleh capai ranking lima terbaik.
“Kalau 50 pingat emas pula boleh dapat kedudukan tiga terbaik. 70 emas memang sah juara dan itu juga yang saya maklumkan kepada Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) ketika beliau bertanya waktu kita capai 50 emas.
“Dia kata adakah Johor mampu menjadi juara? Saya kata kalau nak jadi juara kena dapat 70 pingat emas dan Alhamdulillah kami, dapat bonus tujuh lagi emas daripada keseluruhan 77 pingat emas,” kata Ketua Kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri.
Bagaimana Johor mampu menjadi sehebat itu? Persiapan rapi yang sudah lama dilakukan kerana mereka sepatutnya menjadi tuan rumah Sukma 2020 tetapi temasya dibatalkan gara-gara pandemik Covid-19.
Mereka juga menamatkan dominasi Selangor yang muncul juara terbanyak iaitu sembilan kali, selain Terengganu (lima), Sarawak (tiga) dan Wilayah Persekutuan (dua).