KUALA LUMPUR: Daripada hanya menyasarkan 55 pingat emas, Johor membawa pulang 77 emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang ditutup hari ini, sekali gus memahat sejarah muncul juara keseluruhan.
Ini kali pertama dalam sejarah 36 tahun penganjuran Sukma, kontinjen Johor mengungguli carta pingat, berterima kasih kepada pencapaian hebat 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa yang diraih.
Terengganu yang turun sebagai juara bertahan menutup kempen di tangga kedua keseluruhan dengan 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa.
Wilayah Persekutuan (WiPers) di tangga ketiga dengan mengaut 55 emas, 68perak dan 64 gangsa, diikuti Sarawak (32-42-53).
Persediaan rapi yang dilakukan Johor, yang sepatutnya menjadi tuan rumah Sukma 2020 secara tidak langsung memberi manfaat kepada atlet mereka untuk muncul kontinjen terkuat kali ini
Sementara itu, kanu muncul sukan paling cemerlang dalam edisi ke-20 temasya dengan mencatat 13 rekod kebangsaan.
Sebanyak lapan rekod baharu dicipta dalam kategori wanita, sementara kategori lelaki menyaksikan lima rekod diperbaharui.
Bagi sukan olahraga, pelari jarak jauh Pahang, Muhammad Ikbolasen Md. Kamal Hussain memecah rekod berusia 26 tahun milik A. Munusamy pada Sukma Pahang dalam acara 10,000 meter lelaki.
Atlet itu mencatat masa 31 minit 11.62 saat (s) berbanding rekod lama 31:47.95s.
Di kolam renang pula, perenang WiPers, Bryan Leong berjaya memecah rekod kebangsaan berusia 13 tahun milik Daniel Bego dalam acara 100m kuak kupu-kupu lelaki menerusi catatan 53.32s, berbanding rekod lama 53.33s.
Di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan dekat Subang turut menyaksikan trio wanita Johor, Nurul Syasya Nadiah Arifin, Nurul Heryani Arfida Arifin dan Mumtazah Syahiidah Shamsuri mencatat 1,699 mata untuk mengatasi rekod lama, 1,692 mata.
Dalam sukan angkat berat, atlet Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri menerusi angkatan 55kg bagi acara snatch dan 80kg untuk clean & jerk. – UTUSAN ONLINE