PETALING JAYA: Kedah (2007, 2008) dan Kelantan (2012) pernah merangkul kejuaraan treble dengan menyapu bersih trofi Piala Malaysia, Liga Super serta Piala FA dalam satu musim yang sama.
Begitupun kejayaan menjulang Piala FA 2022 kelmarin meletakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di landasan memahat sejarah lebih besar daripada itu, menjadi pasukan pertama bergelar juara quadruple (empat trofi) dengan menjadikan Liga Super serta Piala Malaysia sasaran seterusnya.
JDT hampir pasti mempertahankan trofi Liga Super buat musim kesembilan berturut-turut kerana mengatasi pencabar rapat, Sabah menerusi kelebihan enam mata, malah memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Kedah dan Kelantan tidak memenangi Perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah) ketika menjulang trofi treble, namun JDT sebaliknya mengalahkan Kuala Lumpur City (KL City) dalam aksi di Johor, Februari lalu.
Kelmarin, anak-anak buah Hector Bidoglio mempamer aksi agresif untuk menenggelamkan Terengganu FC 3-1 dalam final Piala FA di Bukit Jalil, sekali gus memperlihatkan betapa bernafsunya mereka untuk memburu dua lagi trofi yang ditawarkan musim ini.

“Selepas ini fokus terarah untuk meraih gelaran Liga Super yang semakin berada di penghujung saingan sebelum memberi tumpuan kepada kempen Piala Malaysia.
“Saya mahu pemain tidak berpuas hati dengan kejayaan semasa dan terus bekerja keras untuk merealisasikan impian membolot semua kejuaraan Liga M musim ini,” kata Bidoglio.
Dua gol Bergson da Silva dan satu jaringan Arif Aiman Hanapi memastikan kemenangan JDT, iaitu trofi Piala FA ketiga mereka dalam sejarah.