PETALING JAYA: Pearly Tan meminta peminat badminton negara agar tidak mengecam jurulatihnya selepas dia dilihat menangis sebelum meninggalkan gelanggang Terbuka Jepun dengan berkerusi roda semalam gara-gara mengalami kecederaan lutut.
Kata Pearly, dia sendiri yang mahu permainan diteruskan biarpun dalam keadaan kesakitan sebelum memberitahu pasangannya, M. Thinaah untuk menarik diri di set ketiga pada kedudukan 13-21, 21-19, 16-11 ketika menentang Baek Ha Na-Lee Yu Lim dari Korea Selatan pada pusingan kedua beregu wanita.
“Pertama sekali, ia adalah keputusan saya sendiri untuk terus bermain biarpun jurulatih mahu saya berhenti. Saya harap kedegilan saya tidak mendatangkan sebarang salah faham.
“Saya mahu memohan maaf dan berterima kasih kepada mereka (jurulatih) kerana sentiasa memberi sokongan kepada saya.
“Akhir sekali, terima kasih kepada pasangan saya, M. Thinaah yang berjuang habis-habisan. Saya tahu anda sudah melakukan yang terbaik untuk…Ia bukan keputusan yang kita mahukan tetapi saya pasti kita akan kembali bangkit selepas ini,” tulis Pearly dalam Instagram.
Pearly-Thinaah turun ke gelanggang dengan motivasi tinggi selepas menyingkirkan beregu No. 2 dunia, Shin Seung Chan-Lee Soo Hee dari Korea Selatan dalama aksi pembukaan.
Bagaimanapun kecederaan yang menimpa Pearly yang beberapa kali dilihat memegang lutut kirinya menyebabkan perjuangan mereka dihentikan awal.
Berdasarkan laporan awal, Pearly, 22, mengalami kecederaan ‘tendon hamstring’ dan akan pulang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Terima kasih semua di atas ucapan, saya dalam keadaan baik dan akan pulang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan,” kata juara Sukan Komanwel itu. – UTUSAN ONLINE