PETALING JAYA : Pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas tidak dapat menyertai pasukan ke Chiang Mai, Thailand bagi menghadapi Piala Raja Thai 2022 bermula 22 hingga 25 September ini.
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon berkata, Shahrul telah melaporkan diri bersama pemain-pemain lain di Wisma FAM, Petaling Jaya, semalam.
“Pemantauan oleh doktor dan fisioterapis pasukan terhadap kondisi kesihatan sepanjang dua hari ini mendapati beliau tidak sempat untuk cergas sepenuhnya menjelang kedua-dua perlawanan di Chiang Mai itu nanti.
“Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain telah bersetuju untuk melepaskan Shahrul daripada kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini,” ujarnya sebentar tadi.
Tambah Pan Gon, dengan ketiadaan Shahrul, baki 23 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat di Wisma FAM.
“Seorang lagi pemain iaitu Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Chiang Mai pada Isnin ini. Tiada penambahan pemain baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE.