MANCHESTER: Erling Haaland mengingatkan pengendali Manchester City, Pep Guardiola kepada legenda Belanda, Johan Cruyff selepas penyerang sensasi Norway itu meledak gol akrobatik ketika menumpaskan bekas pasukannya, Borussia Dortmund 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara hari ini.
Pertahanan Dortmund berjaya ‘mendiamkan’ Haaland hampir dalam sebahagian besar perlawanan, namun satu jaringannya yang menakjubkan sudah cukup untuk memberi kemenangan kepada City pada saingan Kumpulan G.
Itu bermakna, Haaland, 22, kini telah meledak 13 gol dalam sembilan perlawanan pertama bersama City sejak menyertai juara Liga Perdana Inggeris itu pada Jun lalu.

“Semua orang tahu betapa pentingnya Johan Cruyff dalam hidup saya. Sebagai seorang, pendidik, mentor, semuanya.
“Dia menjaringkan gol luar biasa di Camp Nou menentang Atletico Madrid (pada 1973). Saat dia (Haaland) menjaringkan gol, saya terfikir tentang Cruyff,” kata Guardiola.
Selain Cruyff, Haaland yang memiliki susuk ‘gergasi’ mengingatkan Guardiola kepada bekas penyerang Barcelona yang lain, Zlatan Ibrahimovic.
Ibrahimovic mengharungi satu musim yang tidak menggembirakan di bawah Guardiola di Camp Nou tetapi telah menggunakan bakat dalam seni mempertahankan diri untuk memberi kesan buruk kepada kariernya.
“Saya masih ingat rakan saya Ibrahimovic mempunyai kebolehan ini untuk meletakkan kakinya di atas.
“Erling agak serupa. Dia anjal, fleksibel dan selepas itu mempunyai keupayaan untuk memasukkan bola ke dalam jaring. Dia begitu besar, tetapi mempunyai fleksibiliti semula jadi ini,” katanya.

Terdahulu, Jude Bellingham meletakkan Dortmund di depan, 11 minit memasuki separuh masa kedua.
Begitupun tiga pertukaran yang dilakukan City membantu mereka ‘bangkit’ dari lena dengan meledak dua gol dalam masa empat minit.
Rembatan luar kotak penalti John Stones pada minit ke-80 memberi gol penyamaan buat City sebelum Haaland dengan menyambut hantaran lintang Joao Cancelo dengan ledakan akrobatik, empat minit kemudian.
Kemenangan menyaksikan City mengungguli Kumpulan G dengan enam mata, tiga mata mengatasi Dortmund selepas FC Copenhagen seri 1-1 dengan Sevilla di Denmark. – AGENSI