PETALING JAYA: Gandingan beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying yang berpasangan buat julung kalinya dengan Low Juan Shen memulakan aksi pertama mereka di Terbuka Vietnam dengan keputusan positif.
Aksi yang berlangsung di Stadium Nguyen Du menyaksikan Liu Ying dan Juan Shen yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan cemerlang untuk mengatasi pasangan tuan rumah, Van Hai Pham dan Van Anh Than dengan keputusan 23-21, 21-14, sekaligus mara ke pusingan kedua untuk berentap dengan satu lagi pasangan tuan rumah, Nguyen Anh Gia Huy dan My Tien Lam esok.
Terdahulu, Juan Shen beraksi dalam acara beregu lelaki bersama Nur Azriyn Ayub turut sama langkah kanan apabila mudah menewaskan pasangan Vietnam, Nguyen Thanh Son dan Nguyen Viet Khang dengan keputusan 21-11, 21-11.
Satu lagi perlawanan tumpuan membabitkan pertemuan sesama Malaysia dalam acara perseorangan lelaki menyaksikan Cheam June Wei berjaya mengatasi Leong Jun Hao dengan keputusan 21-15, 21-14.
Bagaimanapun hasrat pilihan ketujuh kejohanan, Soong Joo Ven untuk mengikut jejak langkah Jun Wei tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri ketika lawan daripada Singapura, Jason Teh baru sahaja mendahului 3-0 di set pertama.
Manakala dalam acara perseorangan wanita, S.Kisona akhirnya menemui semula rentak kemenangan apabila menumpaskan pemain India, Anupama Upadhyaya dengan keputusan 15-21, 21-18, 21-16.
Skrip sama turut dihadapi Goh Jin Wei yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan diheret sehingga tiga set sebelum berjaya menewaskan pemain Thailand, Pitchamon Opatniputh dengan keputusan 21-18, 13-21, 23-21.
Sebanyak 15 wakil negara meneruskan kemaraan untuk aksi pusingan kedua Terbuka Vietnam esok.