KUALA LUMPUR: Dua atlet Johor, Muhammad Fakhrullah Mohd. Rumaize serta Tan Rouxin dipilih sebagai penerima anugerah Atlet Lelaki Terbaik dan Atlet Wanita Terbaik Sukan Malaysia (Sukma) ke-20.
Atlet kanu, Muhammad Fakhrullah yang berusia 21 tahun menyapu sembilan pingat emas dengan dua rekod kebangsaan berjaya dipecahkannya.
Menerusi acara Kanu 2 (K2) 500 meter (m) Fakhrullah melakar masa terpantas 1 minit 43.054 saat (s), sementara, dalam acara K2 1000m masa yang dicatat atlet itu ialah 3:35.500s.
Tujuh lagi pingat emas diraih Fakhrullah melalui acara K1 200m, K2 200m, lumba bot tradisional (TBR) 1000m, TBR 500m, TBR 500m campuran, TBR 200m dan TBR 200m campuran.
Sementara itu, Rouxin yang baru berusia 16 tahun merangkul enam pingat emas, satu perak dan satu gangsa.
Sekalipun tanpa rekod kebangsaan, perenang itu cemerlang meraih pingat emas dalam acara 50m kuak dada, 100m kuak dada, 200m kuak dada, 100m kuak lentang, 200m kuak lentang dan 200m rampaian individu.
Dalam acara 50m kuak lentang, Rouxin membawa pulang pingat perak, manakala, gangsa dimenanginya menerusi 4 x 100m rampaian berganti-ganti.
Anugerah atlet terbaik telah disampaikan oleh pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Datuk Azizulhasni Awang dan ratu skuasy negara yang merupakan juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David. – UTUSAN ONLINE