KUALA NERUS: Pemain lincah Terengganu FC (TFC), Faisal Halim mahu menjadikan aksi final Piala FA sebagai peluang untuk memahat memori terindah bersama skuad Sang Penyu.
Menurut tonggak sayap berusia 24 tahun itu, perlawanan malam ini diharapkan memberikan pengalaman berbeza buat dirinya walaupun pasukan diwakilinya sebelum ini sudah pernah melangkah ke pentas akhir.
Faisal berkata, dia tidak tersenarai dalam barisan pemain Pahang ketika tumpas 2-3 kepada Kedah di Stadium Shah Alam pada 2017 yang juga tahun keduanya bersama Tok Gajah.
“Setahun kemudian pada 2018, saya berada dalam senarai pemain simpanan sebelum masuk menggantikan Mohamadou Sumareh dan Pahang berjaya mengatasi Selangor 2-0.
“Jadi ini adalah final ketiga Piala FA pasukan saya. Saya tidak kisah dapat menjaringkan gol atau tidak, saya cuma mahu mencipta memori terindah bersama TFC.
“Tambahan pula kali ini saya ada isteri dan anak selain ahli keluarga yang akan hadir memberi sokongan. Saya harap dapat meraih kejayaan lebih manis lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Faisal, TFC akan turun berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) tanpa sebarang tekanan walaupun mengakui aksi tersebut mungkin menjadi perlawanan yang ditunggu-tunggu peminat tanah air.
Malah tonggak Harimau Malaya itu juga yakin percaturan ketua jurulatih, Mohd. Nafuzi Zain, mampu merencana strategi terbaik memerangkap pasukan lawan yang dianggap pasukan pilihan.
“Moral dan semangat pasukan berada pada tahap terbaik. Jurulatih juga sering mengingatkan semua pemain perlu bersedia untuk beraksi jika diturunkan.
“Saingan final berbeza dengan aksi liga. Namun tiada apa yang ditakutkan dan kami juga tidak mahu simpan apa-apa, kalau ada 200 peratus, TFC akan beri persembahan 200 peratus,” katanya. – UTUSAN ONLINE