KUANTAN: Empat sukan teras menjadi sandaran Pahang untuk merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang akan diadakan Kuala Lumpur bulan ini.
Menembak, silat, memanah dan olahraga menjadi sukan tumpuan atlet Pahang pada temasya yang akan berlamgsung pada 16 hingga 24 September ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap, 625 atlet yang mewakili Pahang kali ini turut menyumbang pingat.
“Walaupun empat sukan menjadi tumpuan, saya berkeyakinan kontinjen kita sudah bersedia menyahut cabaran 29 sukan yang bakal dipertandingkan nanti,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis penyerahan bendera kontinjen Sukma Pahang di sini hari ini.
Pada Sukma 2018, kontinjen Pahang berada di kedudukan keenam dalam carta pingat menerusi 33 pingat emas, 20 perak dan 30 gangsa.
Wan Rosdy mahu semua atlet menyemai semangat juang yang tinggi dan mengekalkan disiplin semasa kejohanan tersebut bagi menjaga nama baik negeri.
Beliau turut mengumumkan pemberian RM350 kepada atlet sebagai tambahan duit poket. – UTUSAN ONLINE