PEKAN: Dua juara dunia, Dawid Mocke dan Danielle McKenzie mengukuhkan kedudukan pendahulu dalam kejuaraan kanu Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2022 selepas masing-masing memenangi peringkat kedua kategori Open International Single Ocean Race di Pantai Legenda di sini hari ini.
Pendayung kebangsaan, Aimi Ayumi Azwan turut membuktikan kehebatannya apabila masih bersaing sengit dalam perebutan untuk meraih sekurang-kurangnya tempat kedua keseluruhan.
Juara dunia 2009, 2010, 2011, 2012, Mocke menamatkan perlumbaan dalam kategori utama lelaki hari ini dengan masa satu jam 13:39.99 saat namun menyaksikan kebangkitan MacKenzie Hynard apabila bekas naib juara dunia bawah 23 tahun itu yang memberikan persaingan sengit dari awal hingga menuju garisan penamat.
Hynard, 25, yang semalam menduduki tempat ketiga di belakang Jenkinson Kent, menamatkan perlumbaan sejauh 14 kilometer hari ini di tempat kedua dengan masa 1’13:42.18 saat manakala pesaingnya dari New Zealand itu mengekori dengan masa 1’14:09.57 saat.
Dengan hanya sedikit kelebihan dimiliki Mocke, 48, peminat sukan air boleh menjangkakan persaingan sengit akan berlaku dalam tiga perlumbaan terakhir yang akan berlangsung di Pantai Balok, Pantai Cherating dan Pantai Teluk Cempedak di Kuantan kelak.
Namun, Mocke telah mengumpul RM6,000 selepas menjuarai dua peringkat perlumbaan berturut-turut selain menghampiri hadiah lumayan RM15,000 yang menanti juara keseluruhan lima peringkat perlumbaan.
“MacKenzie dan Kent benar-benar memberikan persaingan yang kuat kepada saya hari ini. Tetapi saya mendapat kelebihan pada hujung perlumbaan apabila ombak dari belakang membantu saya berlari lebih laju ke penamat,” kata Mocke.
Sementara itu juara dunia 2019 McKenzie menepati ramalan untuk acara wanita setelah memenangi peringkat kedua dengan masa 1’19:27.00s.
Jaguh dari New Zealand itu sekali lagi meninggalkan pendayung dari Thailand, Irin Negree yang mencatatkan masa 1’36:30.68s manakala penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Aimi Ayuni terus mengekori rapat di tempat ketiga dengan masa 1’37:34.01s.
Mengulas kedudukannya yang selesa di hadapan selepas dua perlumbaan, McKenzie berkata, dia tetap akan mengayuh bersungguh-sungguh.
“Saya seorang pelumba, tiada sikap bersenang-senang dalam diri saya. Saya akan tetap bersungguh-sungguh kerana setiap hari ada perkara baharu yang dapat kita pelajari,” katanya.
Aimi Ayuni, yang masih segar dengan kemenangannya dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SukIPT) di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini, kini ketinggalan kira-kira dua minit di belakang Negree bertekad untuk mencuri kedudukan kedua keseluruhan daripada peserta dari Thailand itu.
“Tadi saya lambat untuk mendapat rentak pada awal perlumbaan, jadi agak terlewat untuk mengejar. Kemudian, pada penghujung perlumbaan pula saya terjatuh. Esok, insya-Allah saya akan cuba tinggalkan dia (Negree) dari awal.
“Keadaan hari ini lebih mudah kerana air agak tenang berbanding semalam yang berombak kuat. Saya tidak biasa dengan ombak kerana masih baharu dengan acara ini,” kata atlet dari Kuala Lumpur yang mewakili Pahang itu.
POPIC 2022, yang pertama kali dianjurkan di negara ini, akan berlangsung sebanyak lima peringkat yang mana Pantai Hiburan menjadi lokasi peringkat pertama.
Peringkat ketiga esok akan berlangsung di Pantai Balok, manakala Pantai Cherating menjadi lokasi peringkat keempat dan Pantai Teluk Cempedak merupakan lokasi terakhir.
Sebanyak 39 pendayung menyertai acara lelaki dan 11 bersaing dalam acara wanita untuk kategori utama.
Perlumbaan ini yang menawarkan hadiah keseluruhan kira-kira RM300,000, dibawakan oleh StageMaker Sdn. Bhd. selaku penganjur dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang, Tourism Pahang dan Tourism Malaysia. – UTUSAN ONLINE