KUALA LUMPUR: Selepas sekadar menduduki tangga kelima di Ipoh empat tahun lalu, Ng Jin Xuan puas berjaya menghadiahkan pingat emas kedua Sarawak dalam olahraga pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 semalam.
Atlet berusia 18 tahun itu melakukan catatan terbaik 43.45 meter (m) untuk membutirkan emas dalam merejam lembing wanita.
Jin Xuan berkata, keputusan untuk berehat dua tahun bagi memberi tumpuan penuh kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga nyata membuahkan hasil, apabila dia turut mencatat rekod peribadi terbaiknya.
Kata pelajar pra-universiti di Kolej Tun Haji Bujang, Miri itu, sasarannya ke Bukit Jalil semalam memang untuk memenangi emas dan kejayaan itu menambah keyakinannya untuk memecah rekod kebangsaan pada Sukma akan datang.
Lebih membanggakan, dia berjaya menewaskan atlet kebangsaan dari Pulau Pinang, J. Pavithraa Devi yang sekadar memungut pingat perak dengan catatan 43.42m.
“Saya sangat seronok, bersyukur sebab dia (Pavithraa) senior saya. Saya amat menghormati dia, kami juga banyak kali bertanding sebelum ini macam di Terbuka Kuala Lumpur, pernah berjumpa dia.
“Saya harap dengan kemenangan ini akan beri peluang mendapat panggilan menyertai skuad kebangsaan. Saya bersedia jika dipanggil bila-bila masa tapi belum buat keputusan lagi untuk menetap dan berpindah ke sini (Bukit Jalil),” katanya.
Dalam masa sama, Jin Xuan turut meletakkan sasaran untuk dapat melepasi saringan ke Sukan SEA tahun hadapan di Kemboja di samping mencipta rekod dalam Majlis Sukan Sekolah Malaysia yang akan berlangsung tiga hari lagi.
“Saya bercadang mencipta rekod dalam MSSM yang akan diadakan di sini juga,” katanya. – UTUSAN ONLINE