PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya tampil di Piala Raja Thailand 2022 bukan sekadar untuk menimba pengalaman atau melengkapkan kejohanan bertaraf jemputan itu tetapi lebih kepada mempertingkatkan lagi kualiti pasukan sebagai persediaan mengharungi Piala AFF hujung tahun ini dan Piala Asia 2023.
Sasaran untuk melangkah ke final bukan misi yang mustahil pada kejohanan empat penjuru yang akan berlangsung di Chiang Mai, Thailand pada Khamis ini.
Pemain lincah negara, Faisal Halim percaya sekarang adalah masa terbaik untuk meneruskan momentum di peringkat antarabangsa selepas tampil cemerlang pada kelayakan Piala Asia 2023, Jun lepas.
Kata Faisal, barisan kejurulatihan telah meletakkan sasaran untuk membawa pasukan mara ke peringkat final dan kini menjadi tugas pemain untuk merealisasikan hasrat tersebut biarpun berdepan pasukan yang berada di ranking lebih baik.
“Sudah tentu setiap kali kita pergi ke sesuatu kejohanan ataupun perlawanan seperti ini, jurulatih katakan kita pergi untuk ke final. Kita mahukan Piala Raja Thailand itu tetapi kita tahu aksi pertama berdepan Thailand bukanlah satu aksi yang mudah.
“Kita tahu kemampuan Thailand tetapi kita pun ada kemampuan kita juga. Apa yang penting adalah satu pencapaian yang baik jika kita berjaya menyekat Thailand,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
Malaysia akan berdepan Thailand yang menghuni ranking ke-111 dunia pada aksi pertama sebelum berpeluang berdepan Trinidad dan Tobago (101) ataupun Tajikistan (109) pada aksi kedua, 25 September.
Faisal turut mengakui barisan pemain cukup bersemangat dan bersedia berdepan dengan tuan rumah.
Rekod empat perlawanan sejak 2014 yang memihak kepada skuad Harimau Malaya, selain kali terakhir bertemu Thailand iaitu pada 15 Jun tahun dengan kemenangan 1-0 ketika dibawah kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe bakal menjadi azimat buat mereka.
“Mungkin ini adalah skuad terbaik untuk masa akan datang kerana ada kombinasi pelbagai pemain daripada pemain senior, muda serta pemain yang tidak terlalu berusia.
“Boleh kata yang tiada bintang dalam skuad ini. Jadi semua menunjukkan kerjasama dan cuba buat yang terbaik ketika menentang Thailand nanti.
“Misi peribadi saya adalah sekurang-kurangnya untuk membantu skuad negara mara ke final Piala Raja Thailand,” katanya.-UTUSAN