‘Budak nakal’ hadiahkan emas buat Selangor

‘Budak nakal’ hadiahkan emas buat Selangor

MUHAMMAD Aliff Aiman Hassri meraikan kejayaan memenangi pingat emas compound 50m individu lelaki Sukma 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Terkenal kerana kenakalannya, Muhammad Aliff Aiman Hassri membuktikan nakal bukan bermakna tidak boleh berjaya apabila memenangi pingat emas acara memanah compound individu 50 meter lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2022 hari ini.

Aliff menganggap dirinya bertuah kerana dikelilingi individu yang bersabar melayan kerenah dan sikapnya sepanjang tempoh persiapan.

“Saya jenis yang nakal, degil, sering ponteng latihan, bersikap ego kerana saya mahu berlatih di tempat sendiri. Saya mahu berlatih sendiri di Semenyih manakala latihan pasukan di Kajang.

“Mereka (ibu bapa) faham dan masih bersabar dengan saya, begitu juga dengan pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) serta persatuan. Tetapi lepas fikir balik, ini adalah demi pasukan, jadi saya perlu buat kerja bersama-sama,” katanya ditemui selepas dinobatkan sebagai juara di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pemanah kelahiran Semenyih Kajang ini mencatatkan 348 mata di set pertama sebelum tampil lebih baik di set kedua dengan catatan 349 mata untuk meraih pingat emas.

Perak pula dimenangi Mohamad Syafiq Md Ariffin dari Terengganu dan gangsa, Nik Ahmad Danial Mohd Kamarolzaman (Selangor).
Secara jujurnya, Muhammad Aliff mengakui dirinya masih belum puas dengan kejayaan diraih dan bersedia mengejar cita-citanya untuk berada dalam skuad kebangsaan.

“Saya masih tidak berpuas hati dengan prestasi saya, mungkin (gagal serlahkan potensi) disebabkan mahu mengejar catatan terbaik peribadi (355 mata).

“Menerusi kemenangan ini, kalau boleh saya berharap nak berada dalam skuad kebangsaan dan mahu cuba ‘pegang’ Asia dan berada di kedudukan terbaik dalam ranking dunia,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya