Boling padang hadiah pingat emas keenam Perlis

Boling padang hadiah pingat emas keenam Perlis

PASANGAN Perlis, Ain Nurnajwa Norhisham (kiri) dan Nur Nadhirah Azmi meraih pingat emas boling padang beregu wanita Sukma 2022 di Kompleks Sukan Bukit Kiara hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejayaan dua atlet boling padang Perlis memenangi pingat emas menerusi acara berpasangan wanita pada hari terakhir Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di sini, sebentar tadi, sekurang-kurangnya mengubat kekecewaan kontinjen itu yang gagal mencapai sasaran 15 pingat emas.

Menerusi kejayaan Ain Nurnajwa Norhisham dan Nur Nadhirah Azmi yang mengetepikan gandingan Kedah, Athirah Mohd Rodzi dan Nurul Alia Fitrah Mohamad Ali 24-5, membolehkan Perlis meraih emas keenam mereka di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara.

Ain Nurnajwa ketika ditemui pemberita berkata, dia amat berpuas hati akhirnya berjaya merangkul pingat emas pada penampilan ketiganya di Sukma.

“Sejak penyertaan pertama di Sarawak, kemudian di Perak, empat tahun lalu, saya sekadar berpuas hati memenangi pingat perak dan gangsa.

“Namun, kali ini pada penyertaan terakhir kami, pingat emas berjaya juga kami miliki, kejayaan ini saya dedikasikan buat jurulatih, keluarga dan rakan sepasukan,” katanya.

Ketika ditanya seandainya ditawarkan menyertai skuad kebangsaan, atlet itu memberitahu, dia dan rakan sepasukannya, Nurul Alia bersedia menyahut cabaran tersebut sekiranya dipanggil.

PEMAIN boling padang Terengganu (kanan) meraikan kejayaan memenangi pingat emas berempat lelaki selepas menumpaskan Perak dalam perlawanan akhir.

Sementara itu, Terengganu menokok dua pingat emas boling padang pada hari terakhir Sukma setelah mengungguli acara perseorangan dan berpasukan lelaki akhir.

Dalam aksi perseorangan lelaki, atlet kebangsaan kelahiran Terengganu, Muhammad Idham Amin Ramlan, 22, menewaskan peserta Johor, Amirul Danial Abdul Rahim 21-13.

Muhammad Idham ketika ditemui berkata, memenangi pingat emas pada penampilan terakhirnya di pentas Sukma menjadi satu penamat terbaik untuknya.

MUHAMMAD Idham Amin Ramlan melakukan balingan ketika meraih pingat emas perseorangan lelaki.

“Sekurang-kurangnya kejayaan ini dapat menebus kehampaan saya setelah tersingkir pada suku akhir dalam acara berpasangan,” katanya.

Dalam aksi berpasukan atau berempat lelaki akhir, Terengganu menggondol emas kedua mereka dalam aksi penutup boling padang setelah menumpaskan Perak 11-10.

Untuk aksi bertiga wanita pula, Perak yang dibarisi Aleena Ahmad Nawawi, Nor Azzahara Abd Razak dan Suriani Rosli mengalahkan pencabar dari Sabah 15-12.

Sabah diwakili oleh Adilah Justine, Nur Zarifah Wajihah Zaidi dan Nurnajmi Jannah Jali. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya