Azeem enggan mendabik dada

Azeem enggan mendabik dada

Atlet Perak, Muhammad Azeem Mohd Fahmi (tiga kanan) tidak berdepan masalah ketika beraksi dalam acara lelaki 100 Meter separuh akhir 2 pada Sukan Malaysia ke-20 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menjangkakan tentangan sengit bakal diterimanya pada final 100 meter lelaki akhir Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Stadium Nasional Bukit Jalil dekat sini, hari ini.

Dalam separuh akhir kedua, semalam, atlet yang mewakili Perak itu mudah memenangi perlumbaan yang menyaksikan dia mencatat masa 10.33 saat (s), manakala pelari Pulau Pinang, Muhammad Fakhrul Abdul Aziz di tempat kedua (10.69s) dan Muhammad Idham Rosli dari Wilayah Persekutuan di kedudukan ketiga (10.82s).

                                                            Azeem Mohd Fahmi

“Insya’Allah, saya akan pastikan pingat emas menjadi milik saya, tetapi, saya tak memandang rendah kemampuan pencabar terdekat saya seperti Muhammad Haiqal (Hanafi) yang berupaya bagi tentangan sengit,” katanya.

Bercakap tentang persembahannya di separuh akhir, Azeem berpuas hati dengan catatan masanya yang disifatkan baik dan konsisten.
“Apa yang penting catatan masa saya perlu sentiasa konsisten di bawah 10.4s atau 10.3s,” ujarnya.

Atlet pecut Negeri Sembilan, Haiqal memenangi separuh akhir pertama menerusi catatan 10.57s, manakala seorang lagi peserta yang juga mampu mencabar Azeem adalah peserta Johor, Muhammad Arsyad Md Saat yang melakar 10.54s untuk menjuarai separuh akhir ketiga.

Atlet pecut Pahang, Nor Sarah Adi melakar masa terpantas 11.94s untuk mengungguli separuh akhir 100m wanita dengan atlet, Sabah, Nur Aishah Rofina Aling (12.04s) dan pelari Selangor, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal (12.11s) dijangka memberikan saingan sengit pada final, hari ini.

Sementara itu, dalam acara 5,000 meter (m) jalan kaki wanita, atlet Wilayah Persekutuan, Kok Hui Ying memenangi emas setelah mencipta masa terpantas 28:45.81s, manakala perak diraih peserta Kelantan, Nurul Alyahaziqah Kamarazaman (29:30.73s) dan gangsa dimenangi seorang lagi atlet Wilayah Persekutuan, Nurul Ashikin Hussin (29:51.27s).

Hui Ying, 17, yang melakukan penampilan sulung pada Sukma ketika ditemui berkata, kemenangan itu merupakan kejayaan pertamanya pada temasya tersebut dan berharap dapat memperbaiki catatan masanya pada masa akan datang.

Bagi aksi akhir lempar cakera wanita pula, atlet Johor, Nur Atiqah Sufiah Md. Hanizam memenangi emas menerusi lemparan sejauh 44.99m, manakala perak diraih Nani Sahirah Maryata dari Pahang (39.97m) dan peserta Sarawak, Vanessa Nega Franky (35.38m) sekadar berpuas hati dengan gangsa.

Untuk lompat tinggi lelaki akhir, Sabah menggondol pingat emas serta perak menerusi Farrell Glenn Felix Jurus (2.15m) dan Mohamad Eizlan Dahalan (2.06m), manakala gangsa menjadi milik peserta Perak, Kuan Jyh Yunn (2.03m).

Dalam pada itu, bagi acara lontar peluru lelaki akhir, atlet Sarawak, Jonah Chang Rigan memenangi pingat emas (16.65m), manakala Kamal Farhan A. Rahman dari Perlis membawa pulang perak (16.31m) dan wakil Johor, Farm Loong Deng meraih gangsa (15.84m).

Selain lontar peluru, lompat kijang wanita akhir turut berlangsung, semalam, apabila atlet Perak, Nurul Ashikin Abas menggondol pingat emas (12.81m), peserta Pahang, Ng Yu Jie memenangi perak (11.79m) dan Dayang Shari dari Sabah berpuas hati dengan pingat gangsa (11.53m).

Untuk acara lontar peluru wanita akhir pula, pingat emas menjadi milik Nani Sahirah (13.38m), manakala perak dan gangsa dimenangi oleh peserta Sarawak, Grace Wong (12.44m) dan Nurul Ainin Syauqina Mohd Nor Azahar dari Pahang (12.02s).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya