MANCHESTER: Biarpun berjaya menandatangani pemain yang disasarkan, Antony kelmarin, namun Manchester United tidak sempat menurunkan bintang Brazil itu apabila menentang Leicester City dalam aksi Liga Perdana esok.
Antony yang baru tiba dari Ajax Amsterdam belum mendapat visa dan terlepas kunjungan ke Stadium King Power.
United bagaimanapun berusaha mendapatkan visa buat pemain berusia 22 tahun itu secepat mungkin bagi membolehkannya memperkuatkan skuad apabila bertemu Arsenal, Ahad ini.
Kelmarin, Ajax bersetuju melepaskan Antony dengan yuran perpindahan 85.5 juta pound (RM445.64 juta).
Antony menjaringkan 31 gol dalam 134 penampilan bersama Ajax dan Sao Paulo serta dua gol dalam sembilan penampilan bersama skuad Brazil.
Pemain sayap itu akan bergabung semula dengan bekas pengurus Ajax, Erik ten Hag yang turut membawa bersamanya pemain pertahanan, Lisandro Martinez .
“Sejak Februari tahun ini, ejen saya datang ke Amsterdam untuk memberitahu Ajax mengenai keinginan saya meninggalkan kelab bagi mencari cabaran baharu dan beberapa kelab hadir bersama tawaran menarik.
“Sepanjang jendela perpindahan, beberapa mesyuarat diadakan termasuk cadangan memperbaharui kontrak bersama Ajax tetapi saya sekali lagi mengesahkan mahu meninggalkan kelab,” kata Antony. – AGENSI