KUALA LUMPUR: Andre Anura Anuar memperbaiki rekod peribadi yang dicipta dalam Sukan Malaysia (Sukma) empat lalu apabila melakukan catatan 16.43 meter (m) dalam saingan lompat kijang hari ini, sekali gus merangkul pingat emas keduanya.
Sukma ke-20 menjadi temasya paling manis buat atlet kelahiran Sabah itu kerana ia adalah penampilan terakhirnya, malah semalam Andre buat kali pertama berjaya meraih emas lompat jauh pada percubaan ketiga.
Pada temasya 2018 di Ipoh, Andre mencatat 15.91m dalam saingan lompat kijang, dan kali ini pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi itu melakukan lompatan jauh lebih baik.
“Untuk pencapaian hari ini, saya berpuas hati dengan lompatan 16.43m sebab Sukan SEA lalu saya buat 16.51m dan Komanwel pula saya batal. Jadi bila dapat kekalkan dalam 16m untuk Sukma kali ini, saya berpuas hati.
“Kejayaan dua emas ini saya dedikasikan kepada negeri Sabah kerana banyak bantu saya sepanjang kerjaya. Ini adalah Sukma yang terakhir saya, jadi inilah tanda Terima kasih saya kepada Sabah,” katanya. – UTUSAN ONLINE