NEW YORK: Remaja sensasi Sepanyol, Carlos Alcaraz memahat tiga sejarah dalam satu masa, bergelar pemain tenis lelaki No. 1 dunia, juara Grand Slam dan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) paling muda dalam sejarah.
Pemain berusia 19 tahun itu merangkul gelaran Grand Slam pertamanya selepas menang 6-4, 2-6, 7-6 (7/1), 6-3 dalam pertarungan sengit ke atas bintang muda Norway, Casper Ruud pada final hari ini.
Alcaraz menjadi pemain termuda menjuarai Grand Slam dan ranking No. 1 dunia sejak rakan senegaranya, Rafael Nadal memenangi Terbuka Perancis 2005, juga pada usia 19 tahun.
Dia yang melakukan 14 aces sepanjang perlawanan turut bergelar juara Terbuka AS termuda sejak Pete Sampras pada 1990.
“Ini ialah sesuatu yang saya impikan sejak kecil iaitu untuk menjadi pemain No. 1, bergelar juara Grand Slam.
“Inilah hasil daripada kerja keras saya selama. Sukar untuk meluahkan kata-kata ketika ini, terlalu banyak emosi.
“Saya baru berusia 19 tahun dan semua keputusan besar dibuat oleh ibu bapa serta pasukan saya. Ini sesuatu yang amat istimewa buat saya, kemenangan ini buat mereka,” kata Alcaraz.
Alcaraz yang digelar ‘jelmaan Rafael Nadal’ mengharungi minggu yang sukar di New York dengan memegang rekod pemain paling lama berada di atas gelanggang dalam satu kejohanan Grand Slam.
Secara keseluruhan, dia mencatat rekod bermain selama 23 jam 40 minit. Alcaraz menghabiskan 13 jam dalam tiga perlawanan membabitkan lima set sebelum mara ke final.
Sejurus tamat perlawanan, Nadal segera mengucapkan tahniah kepada bintang generasi baharu Sepanyol itu.
“Tahniah @carlosalcaraz untuk gelaran pertama Grand Slam dan untuk nombor 1, yang menjadi penyudah hebat untuk musim yang bagus, yang saya yakin ia akan menjadi lebih banyak,” kata juara 22 kali Slam itu menerusi Twitter. – AFP