KUALA LUMPUR: Atlet lumba basikal Johor, Muhammad Nur Aiman Rosli terus cemerlang apabila dia meraih emas kedua peribadinya setelah mengungguli acara lepas beramai-ramai 160 kilometer (km) lelaki akhir di D’tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan, pagi tadi.
Pelumba berusia 23 tahun itu yang turut memenangi emas dalam acara ujian masa 40km lelaki akhir, semalam, mencatat masa terpantas 3 jam 52 minit 04 saat (s) untuk memenangi perlumbaan tersebut.
Pingat perak pula menjadi milik, Muhammad Shahmir Aiman Abd. Halim dari Terengganu menerusi lakaran masa 3:52:35s, manakala gangsa diraih oleh rakan sepasukannya, Kee Zhe Yie yang melakukan 3:53:51s.
Sementara itu, dalam acara lepas beramai-ramai berpasukan lelaki akhir, Terengganu menyekat dominasi Johor apabila memenangi pingat emas setelah mencatat masa terpantas 11:43:14s.
Johor pula sekadar berpuas hati dengan pingat perak (11:49.10s) dan Wilayah Persekutuan meraih gangsa (11:53:22s). – UTUSAN