KUALA LUMPUR: Aifa Azman menebus kehampaan terlepas pingat emas perseorangan wanita akibat kecederaan apabila menjuarai saingan beregu bergandingan dengan adiknya, Aira dalam final Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Aifa, 21, dan Aira, 18, yang mewakili Kedah mengetepikan pasangan Sabah, Lai Wen Li-Yee Xin Ying 11-10, 11-6 untuk merangkul pingat emas.
Kata Aifa, kecederaan ibu jari memaksanya menarik diri dalam acara perseorangan di pusingan awal.
“Kecederaan ini saya dapat sewaktu beraksi untuk beregu wanita pada separuh akhir Sukan Komanwel.
“Saya terpaksa menarik diri dalam acara perseorangan bagi mengelak kecederaan menjadi lebh serius. Jadi, fokus saya pada beregu wanita bergandingan dengan Aira,” katanya.
Pemain yang menghuni ranking No. 24 dunia itu berharap kecederaannya segera pulih kerana pada 8 hingga 15 Oktober ini dia akan beraksi pada Terbuka Amerika (AS) Syarikat di Philadelphia.
“Selepas Terbuka AS, saya akan menyertai Terbuka Asia di Korea Selatan, sebelum pulang untuk Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura,” ujarnya.
Pingat gangsa pula menjali milik beregu Wilayah Persekutuan, Chan Yiwen-Noor Ainaa Amani Ampandi setelah menumpas satu lagi gandingan Kedah, Wong Heng Wai-K. Sehveetrraa 11-3, 11-5.
Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki, pasangan dari Kelantan, Vincent Jones Junior-Muhammad Amir Amirul Azhar menundukkan gandingan Kedah, Ong Sai Hung-Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif 11-9, 5-11, 11-9 dalam perlawanan akhir.
Untuk saingan perebutan gangsa pula, yang menemukan dua beregu Negeri Sembilan berkesudahan Darren Pragasam-Sanjay Jeeva menewaskan C. Ameeshenraj-Shamiel Haeyzad Sharulhisam 11-10, 11-9. – UTUSAN ONLINE