PETALING JAYA: Hasrat perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia untuk melangkah jauh dalam Kejohanan Badminton Dunia tahun ini tidak kesampaian apabila dikejutkan pemain China, Zhao Jun Peng pada pusingan ketiga, sebentar tadi.
Di atas kertas, Zii Jia memiliki segala kelebihan apabila pernah menang sekali ke atas pemain China itu pada Terbuka Jerman, Mac lalu, selain turun sebagai pilihan kelima kejohanan.
Sebaliknya perkara berbeza berlaku apabila Zii Jia kelihatan bergelut sejak set pertama dan perkara sama berulang di penghujung set ketiga, yang menyaksikan jaguh Asia itu tunduk 19-21, 21-11, 19-21 dalam tempoh 65 minit.
Malaysia kini hanya bergantung kepada tiga wakil di suku akhir esok, selepas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta dua gandingan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai serta Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing cemerlang menewaskan lawan masing masing. – UTUSAN ONLINE