AMSTERDAM: Pelumba Red Bull, Max Verstappen bukan sahaja akan kembali ke halaman sendiri hujung minggu ini dengan kelebihan mata tetapi dia turut mendapat tonik tambahan apabila bakal menyarung topi keledar baharu mirip milik bapanya, Joss Verstappen dalam perlumbaan di Zandvoort.
Helmet baharu itu mirip rekaan digunakan bapa Verstappen yang berwarna putih dan gabungan jalur biru dan merak ketika beraksi sebagai pemandu Formula Satu (F1) dari 1994 hingga 2003.
Ia juga tanda perhargaan Verstappen buat bapanya.
“Menjelang Grand Prix (GP) Belanda hujung minggu ini, dan saya berfikir bahawa ini tahun terbaik terbaik untuk menghargai segala jasa ayah yang membentuk saya sejak kecil hingga berjaya mencapai tahap ketika ini…dengan memenangi Kejuaraan Dunia.
“Ia sesuatu yang istimewa untuk memandu menggunakan helmet ini kerana ia mengimbas kembali memori saya di awal karier dengan menceburi dunia perlumbaan dengan bermula dengan go-kart.
“Saya harap ramai peminat bukan sahaja saya, tetapi ayah saya akan menghargai helmet ini,” jelas Verstappen.
Pemandu Belanda itu amat mengharapkan tuah topi keledar dapat membantunya meraih kejayaan sama seperti dilakukan pada tahun lalu apabila GP Belanda kembali dalam kalendar F1 sejak 1985.
Verstappen kini mengumpul 284 mata sebagai pendahulu keseluruhan, berkelebihan 93 mata mengatasi rakan sepasukan, Sergio Perez di tangga kedua dengan 191 mata. – AGENSI