TANJONG MALIM: Acara silat yang menawarkan pingat hari ini menjadi pembuka gelanggang pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (Sukipt) 2022 yang bermula di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Lebih menarik, ia juga menghasilkan pingat emas pertama temasya yang menyaksikan atlet Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Umar Hafiz Roslee Amir menjejak kaki di podium selepas meraih kemenangan ke atas lawannya, Mohd. Nur Syahmi Rohamidi (UiTM) dalam kategori silat seni tunggal putera di final.
Kejayaan Umar Hafiz itu boleh dianggap satu kejutan kerana lawannya itu merupakan pemenang pingat perak pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Ubon Ratchathani minggu lalu.
Menurut Umar Hafiz, beliau tidak menyangka akan mendapat pingat emas dalam kategori ini kerana pesaing-pesaing yang lain juga hebat lagipun dia tidak mendapat latihan yang mencukupi bagi menghadapi Sukipt kali ini.
“Mungkin ini rezeki saya. Saya tidak menyangka kemenangan memihak kepada saya kerana saya hanya sempat berlatih selama seminggu sahaja sebelum datang ke sini (Tanjong Malim),” jelas Umar Hafiz.
Bagi kategori tunggal puteri pula, atlet IIUM, Mirsha Nurathiqa Mirnawan yang memperagakan rentak cemerlang, menepati ramalan untuk menggengam emas acara tersebut bagi menewaskan dua pencabarnya Nurdiana Najwa Rashid (UiTM) dan Malisa Khaizreen Mohamad Khaidir (UPNM).
Kategori regu putera juga menewarkan pingat dalam acara pembuka tirai hari ini dan seperti dijangka pingat emas berada dalam genggaman trio IIUM yang dibarisi Muhammad Faiz Danial Mohd. Dahalam, Muhammad Nurhafiz Yusoff Khalid dan Muhammad Amirul Haiqal Mohamad Yusuf (IIUM).
Trio UPSI pula yang diperkuatkan oleh Iffah Maisarah Mustaffa Kamal, Rabbiatul Adawiyah Mohd Hisam dan Nurfadhilah Wani Jiplin menamatkan saingan dengan kemenangan pingat emas.
Dua lagi emas yang ditawarkan dalam acara silat seni hari ini adalah kategori ganda putera dan puteri dengan gandingan Mohammad Ammar Sufi Mohammad Rosli-Luqman Nul-Hakim Che Abdullah (IIUM) meraih emas putera, sementara kelas puteri milik Nurul Syahirah Ahli dan Aida Nasuha Rahim (UPNM).
Acara-acara lain termasuk futsal, petanque, sofbol, bola sepak dan juga kayak masih berada di peringkat kelayakan. – UTUSAN ONLINE